TERLETAK di dalam daerah Batang Padang, Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bekas Perajurit Bidor merupakan tanah kurniaan Sultan Perak ke-33, Almarhum Sultan Idris Shah II dalam menghargai jasa bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kawasan ini dianugerahkan kepada 385 bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1987 sebelum namanya ditukar kepada Taman Seri Bidor selepas dibangun kawasan perumahan oleh pemaju sekitar tahun 1992.
Rentetan itu pelbagai usaha dilakukan oleh pemilik yang merupakan bekas anggota ATM bersama Persatuan Veteran (PV) ATM, Perak agar nama RPT Bekas Perajurit Bidor dapat dikembalikan.
Yang Dipertua (YDP) Persatuan Veteran (PV) ATM Perak, Mazlan Umar berkata, RPT Bekas Perajurit Bidor merupakan kurniaan Sultan Perak ketika itu dalam menghargai perkhidmatan dan jasa veteran tentera semasa darurat sekitar 1970an.
“Sebelum 70an adalah darurat pertama, selepas itu darurat kedua dan masa ini tentera kita terlibat perang dengan komunis dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
“Masa ini semua tentera pergi operasi dan tempohnya bukanlah seminggu dua tetapi hingga tiga bulan kemudian balik hanya rehat seminggu sebelum masuk hutan semula dan ramai yang berkhidmat hilang anggota badan seperti putus kaki,” katanya kepada MG Perak.
Menurut Mazlan, sebagai menghargai jasa bekas tentera terlibat Sultan Perak ketika itu, Almarhum Sultan Idris berkenan mengurniakan tanah kepada 385 bekas perajurit.
“Almarhun Tuanku merasai jerih perih perjuangan veteran sebelum ini dan kerajaan negeri bersetuju untuk menyediakan tanah di daerah Batang Padang untuk dikurniakan kepada veteran yang layak.

“Setelah dianugerahkan pihak kerajaan kepada 385 veteran dari pelbagai latar belakang yang dikenal pasti sekitar Batang Padang semua dipanggil untuk mengundi lot masing-masing,” katanya.
Mazlan berkata, terdapat bahagian tanah yang diterima bekas anggota tentera merupakan tapak lombong dan ia memerlukan kos yang tinggi untuk menambak dan membina kediaman sehingga ada yang menjual tanah mereka.
Katanya, sebagai langkah penyelesaian kawasan tersebut diambil alih pemaju untuk membangunkan kawasan perumahan buat bekas perajurit yang menerima tanah tersebut.
“Jadi bila dilantik pemaju kampung tersusun pihak berkuasa tempatan tidak boleh kutip cukai sedangkan ia sudah jadi taman jadi mereka tukar nama kepada Taman Seri Bidor memandangkan ia memerlukan penyelenggaraan.
“Maka disinilah bermulanya isu kerana veteran yang menerima tanah tidak berpuas hati nama RPT Bekas Perajurit Bidor ditukar kepada Taman Seri Bidor,” katanya.
Tambahnya bermula dari itu pelbagai usaha dilakukan oleh PV ATM Negeri Perak dalam mengembalikan nama asal berkenaan sehingga pada 12 Januari 2026 ia berjaya mendapatkan nama asalnya.
Terima kasih MB Perak selesaikan masalah 30 tahun
Mazlan berkata, pihaknya amat berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang membantu mengembalikan semula nama RPT Bekas Perajurit Bidor.
Beliau berkata, semuanya bermula di Dewan Merdeka Tapah ketika Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan yang mana turut dihadiri oleh Saarani dalam usaha membantu menyelesaikan aduan rakyat.
“Apa pun saya berterima kasih kepada Menteri Besar sehingga perkara ini diangkat dan diambil peduli kerajaan negeri dan mengarahkan pihak majlis daerah serta pejabat daerah dan tanah membuat keputusan mengikut lunas undang-undang.
“Setelah itu keputusan berkenan diserahkan kepada Menteri Besar dan akhirnya nama RPT Bekas Perajurit diguna kembali meskipun digabungkan dengan nama @Taman Seri Bidor,” katanya.

Mazlan berkata, biarpun ia mengambil masa hampir 30 tahun namun ia tetap satu keputusan yang membanggakan mereka memandangkan masih ada sekitar 50 penerima RPT dalam kalangan bekas anggota tentera masih menetap di sana.
“Alhamdulillah saya bersyukur sangat bagi pihak PV ATM Perak mewakili penduduk dan ahli di kawasan Batang Padang khususnya di RPT Bekas Perajurit Bidor ini yang mana masih ada 50 orang veteran berterima kasih kepada kerajaan negeri.
“Penduduk sekarang berasa senang hati kerana isu ini sudah diselesaikan dan kami juga berterima kasih kepada semua pihak terlibat seperti YB Sandrea, pejabat daerah dan majlis daerah,” katanya.
Kerajaan Perak sedar pentingnya nama asal yang membawa nilai sejarah
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng berkata, RPT Bekas Perajuri Bidor merupakan tanah kurniaan Sultan Perak kepada bekas anggota ATM pada tahun 1987 sebelum dibangunkan sebagai kawasan perumahan pada awal 1992.
“Namun selepas kawasan ini siap diduduki dan cukai taksiran mula dikenakan pada tahun 1994, nama Taman Seri Bidor digunakan dalam sebahagian urusan pentadbiran pihak berkuasa tempatan.

“Bagaimanapun hak milik tanah itu masih menggunakan nama RPT Perajurit Bidor dan perbezaan penggunaan nama ini menimbulkan kekeliruan berpanjangan melibatkan urusan alamat, cukai, utiliti dan dokumentasi rasmi,” katanya.
Mengulas lanjut, Sandrea berkata, Kerajaan Perak menyedari kepentingan nama asal RPT Perajurit Bidor yang membawa nilai sejarah, identiti serta pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan bekas perajurit yang menetap di kawasan tersebut.
Katanya, penantian lebih tiga dekad itu, diluluskan dalam Mesyuarat Penuh Ahli Majlis dan secara rasmi berkuat kuasa mulai 12 Januari 2026 itu melibatkan kira-kira 371 pemilik rumah di kawasan tersebut.
Jelas beliau, tindakan susulan akan diambil bagi memastikan keseragaman penggunaan nama baharu itu dalam semua urusan rasmi bagi melancarkan tadbir urus pentadbiran.
“Isu ini kembali dibangkitkan Persatuan Veteran ATM Perak kepada Menteri Besar pada April tahun lalu menerusi program hari bertemu pelanggan yang membawa kepada keputusan muktamad pada Isnin.
“Walaupun mengambil masa lebih 30 tahun, penduduk tidak pernah jemu memperjuangkan isu ini dan kerajaan negeri akan sentiasa mengambil kira sejarah serta pandangan komuniti dalam setiap keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat,” katanya. -MG Perak


