BAGAN DATUK – Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bagan Datuk Fasa 1, bernilai RM87.6 juta dijadualkan bermula suku ketiga 2026, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk dalam satu kenyataan berkata, RTB berkenaan merangkumi kerja-kerja penambahbaikan sistem saliran di tiga lokasi.
Beliau berkata, lokasi berkenaan melibatkan Tebuk Semani sepanjang 0.65km, Parit 8 Barat (1.25km) dan kolam takungan banjir di Sungai Balai Baroh.
“Dalam masa yang sama, saya turut menegaskan keperluan langkah-langkah jangka pendek dilaksanakan dengan segera, termasuk memperkukuh kolaborasi antara agensi.
“Kolaborasi ini melibatkan usaha menambah baik lintasan air dan parit-parit sedia ada, bagi mengurangkan risiko banjir sementara menunggu pelaksanaan projek berskala besar ini,” katanya.
Terdahulu Ahmad Zahid hadir meninjau perkembangan beberapa projek pembangunan strategik yang dirancang demi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat setempat.
Beliau turut mengadakan lawatan ke Kampung Sungai Balai Baroh mendengar taklimat berkaitan Projek Jambatan RTB Bagan Datuk.
Ahmad Zahid turut memaklumkan isu banjir di Bagan Datuk berpunca daripada beberapa faktor utama, antaranya taburan hujan yang tinggi, keadaan semasa lebih 1,900 lintasan air (culvert), keadaan sistem saliran sedia ada yang tidak seragam, serta topografi kawasan yang menyebabkan takungan air berlaku di beberapa lokasi sehingga mengakibatkan banjir. -MG Perak


