TAIPING – Dua hari sebelum Syawal menjadi ujian buat Baderol Hisam Mohd Yusoh, 51, apabila sebahagian rumahnya rosak ditimpa pokok kelapa sawit di Kampung Sungai Lubok, Trong, dekat sini.
Mengimbas semula kejadian 8 April lalu, Baderol Hisam berkata, pada ketika itu hanya dia dan isteri berada di rumah manakala anak-anaknya di luar.
Menurutnya, kejadian sekitar jam 12 tengah hari berlaku sekelip mata apabila pokok kelapa sawit setinggi 13 meter dan berusia 30 tahun itu tumbang dan merosakkan 35 peratus bahagian dapur rumah.
“Sewaktu kejadian saya sedang tidur. Kemudian saya terkejut ingat ada bom meletup dan bangun lihat dinding dapur sudah roboh ditimpa pokok berkenaan.
“Masa kejadian tiada hujan atau ribut. Memang saya bercadang nak tebang (pokok kelapa sawit) lepas raya tapi ia tumbang awal,” katanya ditemui media di Kampung Sungai Lubok, Trong, dekat sini, pada Ahad.
Bekas pemandu kepada isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu berkata, setakat ini dia memperbaiki rumahnya sekadar termampu.
“Saya sendiri ada kemahiran bertukang. Sekarang kos bahan binaan memang tinggi kalau ada yang membantu boleh saya buat sendiri.
“Sekarang ini kalau keluar rumah kami bertawakal sahaja malah hari ini ada anak ular tedung masuk ke dalam kerana keadaan rumah yang tidak sempurna,” ujarnya yang bimbang kalau hujan berterusan air akan masuk ke dalam rumah dan dia terpaksa menyedut air untuk keluar.
Sehubungan itu, Baderol Hisam berharap ada pihak yang sudi menyalurkan bantuan atau memberi bahan binaan untuk membina semula bahagian dapur yang rosak dengan segera atas faktor keselamatan mereka sekeluarga.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal yang meninjau keadaan rumah tersebut mengumumkan bantuan RM10,000 bagi baik pulih rumah berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pekerja warga Indonesia maut, lima cedera dalam insiden pokok besar tumbang