GERIK – Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri disambut meriah dengan kehadiran pengunjung dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Temengor dan sekitarnya.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, majlis ini tanda terima kasih kepada penduduk tempatan yang sentiasa memberi sokongan kepadanya dan untuk meraikan bulan Syawal bersama.
“Saya cukup terharu dengan kehadiran semua, seperti yang saya kata dalam ucapan, apalah maknanya majlis yang kita aturkan, kalau tiada tetamu yang hadir.
“Sambutan inilah peluang kita untuk beramah mesra, lebih kenal dan mendekatkan hubungan silaturahim,” tambahnya ringkas.
Salbiah berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Arena Dato Hasbullah, dekat sini pada Ahad.
Hadir sama, bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Datuk Seri Mohammad Tajol Rosli Mohamed Ghazali.
Majlis yang bermula seawal jam 9.30 pagi itu dihadiri lebih 3,000 pengunjung yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum, termasuk masyarakat Orang Asli.
Terdapat beberapa reruai yang menempatkan pelbagai jenis juadah makanan Aidilfitri berserta minuman.
Ia termasuk lemang, nasi impit berserta kuah kacang, apam balik, bihun sup, laksa, mi goreng, minuman sejuk dan sebagainya.
Sumbangan duit raya juga diadakan pada pertengahan majlis kepada kanak-kanak dalam kalangan pengunjung yang hadir. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: Sultan Nazrin, Tuanku Zara Berangkat Ke Majlis Sambutan Aidilfitri MB Perak
MGPerak: Sambutan Aidilfitri Tanda Penyatuan Rakyat Pelbagai Kaum – Saarani