TELUK INTAN – Lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden rusuhan ketika perlawanan bola sepak di Padang Speedy, di sini, minggu lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret Teluk Intan, esok.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada hari ini dan pihaknya telah menerima arahan untuk pertuduhan.
Menurutnya, empat daripada lelaki terbabit akan dituduh mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar manakala seorang lagi akan dituduh di bawah Seksyen 323 kanun yang sama kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Dua orang dari pasukan Padang Tembak FC dan dua lagi dari pasukan Jenderatah FC akan dituduh di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan.
“Manakala seorang lagi dari pasukan Jenderatah FC dituduh di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada pengadil,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, media melaporkan lima suspek yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu dipercayai pemain pasukan bola sepak terlibat telah direman dua hari pada 11 Ogos lalu menjadikan keseluruhan 12 individu ditahan.
Sebelum ini, tujuh suspek berusia 21 hingga 31 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad lalu.
Bakri dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku sewaktu separuh masa kedua perlawanan bola sepak Liga Integriti Hilir Perak 2025 membabitkan pasukan Padang Tembak FC dan Jenderata FC, pada 7 Ogos lalu.
Katanya, kekasaran tercetus apabila seorang pemain Padang Tembak FC melakukan tackle keras terhadap pemain Jenderata FC yang seterusnya mencetuskan pertelingkahan antara pemain kedua-dua pasukan.
Ujarnya, seorang pengadil berusia 23 tahun telah menerima rawatan di Hospital Teluk Intan selepas ditumbuk di bahagian rusuk semasa cuba meleraikan pergaduhan itu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Rusuhan Bola Sepak Teluk Intan: Lima pemain direman dua hari