RUU pisah peranan AG-Pendakwa Raya bukti reformasi semakin subur – Kor Ming

IPOH – Rang Undang-Undang (RUU) pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang akan dibentangkan di Parlimen menujukkan Kerajaan Perpaduan serius dalam usaha memperkukuhkan reformasi institusi negara.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming berkata, pindaan termasuk kepada pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri juga sebagai bukti Pakatan Harapan (PH) berusaha dalam menepati manifesto pilihan raya lalu.

Katanya, pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya penting bagi mengelakkan konflik kepentingan serta salah guna kuasa dalam sistem perundangan negara.

RUU pisah peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya reformasi institusi Malaysia pengasingan kuasa Peguam Negara Pendakwa Raya RUU Malaysia 2026 pindaan Perlembagaan Malaysia had tempoh jawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim Datuk Seri Azalina Othman Said Pakatan Harapan manifesto sistem Westminster Malaysia reformasi undang-undang Malaysia
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ketika sidang media pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Tahun 2026 anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak di Summit Event Hall Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 FEBRUARI 2026.

“Peguam Negara akan terus menjadi penasihat undang-undang kerajaan, manakala Pendakwa Raya akan menjalankan kuasa di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Pejabat Pendakwa Raya akan menentukan sama ada sesuatu kes perlu didakwa, disaman atau ditarik balik tanpa campur tangan pihak lain.

“Dengan usaha reformasi ini, tidak akan ada lagi konflik kepentingan antara fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak di Summit Event Hall, dekat sini, pada Ahad.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching.

Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada siri pindaan Perlembagaan yang memberi impak positif kepada reformasi institusi negara.

“Usaha ini sekali lagi menunjukkan manifesto PH telah ditepati dan semangat reformasi (dalam negara) semakin subur,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, satu lagi pindaan besar terhadap Perlembagaan adalah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun bagi memastikan keseimbangan kuasa dalam pentadbiran negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggaul yee sang pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Tahun 2026 anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak di Summit Event Hall Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 FEBRUARI 2026.

Kata beliau, had penggal berkenaan sebelum ini lazimnya dilaksanakan dalam sistem presiden seperti di Amerika Syarikat dan Indonesia, namun belum pernah diterapkan dalam sistem berparlimen seperti sistem Westminster.

“Jika pindaan ini diluluskan, Malaysia akan menjadi negara pertama yang mengamalkan sistem Westminster dengan had tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun,” jelas beliau.

Pada Jumaat media melaporkan, RUU berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dan RUU Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri akan dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, pembentangan bacaan kali kedua RUU Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dilakukan pada 2 Mac.

Sementara bacaan kali kedua RUU Rang Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri pula dijadualkan pada 3 Mac dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkannya sendiri. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pengasingan peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya buka lembaran baharu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI