LENGGONG – Semua ahli UMNO diingatkan supaya terus memperkukuh kekuatan parti melalui saf kepimpinan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam landskap politik yang semakin kompleks, setiap anggota tidak mempunyai pilihan selain berdiri teguh bersama kepimpinan sedia ada.
Justeru, katanya, ahli UMNO perlu bersedia menangkis segala bentuk fitnah dan tohmahan yang dilemparkan oleh parti lawan yang hanya bertujuan memecah-belahkan kepimpinan serta perpaduan parti.
“Jika hari ini mereka menyerang pimpinan kita, esok mereka mencucuk kerukunan akar umbi. Lusa pula mereka mengadu domba bagi memecahkan saf UMNO dan kitaran ini tidak akan berhenti.
“Kerana mereka tahu selagi saf kita rapat, selagi saf kita kuat, maka selagi itu UMNO tidak mampu dijatuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di sini, pada Sabtu.
Pada masa sama Saarani yang juga Menteri Besar Perak turut menegaskan bahawa semua anggota parti perlu berusaha bersungguh-sungguh memulihkan imej UMNO, selain menyuburkan semula kepercayaan generasi muda terhadap parti.
Menurutnya, citra UMNO sebagai parti pemerintah yang mendukung kestabilan pentadbiran perlu terus digilap, selain ditampilkan dengan wajah yang lebih segar dan diyakini rakyat.
Ketua UMNO Bahagian Lenggong itu turut menyeru supaya ahli UMNO menggunakan media sosial sebagai medan penyatuan rakyat dan platform menangkis segala tohmahan serta fitnah pihak lawan.
“Kita mesti menjadi jurucakap yang tangkas dalam menjawab tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada parti.
“Kalau kita lambat, naratif lawan akan mendahului. Kalau kita diam, fitnah akan dianggap benar. Maka kita mesti selalu bersedia dengan fakta, bijak mengatur hujah dan tangkas memadam persepsi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Saarani turut mengingatkan bahawa kekuatan parti tidak boleh hanya bergantung kepada struktur organisasi semata-mata.
Sebaliknya kata beliau, pengaruh UMNO mesti dibina semula di hati rakyat melalui kehadiran di lapangan yang konsisten, khidmat yang tulus serta kepimpinan yang diyakini dan boleh dipercayai.
“UMNO mesti menjadi parti yang dirasai rakyat dalam kehidupan harian mereka sebagai pembela suara, pemudah urusan dan pencetus harapan.
“Jika itu dapat kita lakukan, saya yakin kekuatan UMNO Lenggong ini bukan sahaja dapat kita perkukuhkan, malah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering akan dapat kembali kita rampas dalam genggaman kita, dan dominasi UMNO di Perak akan dapat kita kembalikan,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: