Saarani kemudi Perak menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030

SERING dianggap bakal berantakan kerana dipimpin oleh parti minoriti dalam kerjasama Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Negeri Perak bagaimanapun membuktikan sebaliknya.

Bukan hanya menjadi antara negeri paling stabil politiknya dalam kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), Perak juga membuka mata banyak pihak dengan prestasi kewangan yang kukuh, serta hala tuju pentadbiran yang jelas terutama menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030.

Kepada MalaysiaGazette, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkongsi rahsia kejayaan pentadbiran beliau, selain mengupas beberapa isu yang menjadi sorotan di negeri tersebut. Ikut wawancara Khuzairi Ismail dan Arina Asbar bersama Menteri Besar Perak.

MGP11022026_MB-PERAK-48-1024x683
Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika temubual eksklusif bersama MalaysiaGazette di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 FEBRUARI 2026.

MalaysiaGazette: Selepas tiga tahun pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030, adakah Datuk Seri berpuas hati dengan pencapaian pelan ini setakat ini?

Saarani: Pelan ini bersifat jangka panjang, jadi setiap tahun kita review, ulang kaji dan melihat pada tahap mana pelan ini sedang berjalan. Ini supaya dapat kita dapat menilai sama ada pelan ini berada on the right track atau sebaliknya. Dan jika ada sebarang masalah, maka kita selesaikan. Sepanjang tempoh itu juga kita terbuka kepada sebarang cadangan atau idea baharu daripada mana-mana pihak untuk menjayakan pelan ini. Sebab pelan ini bersikap dinamik, bukan pelan yang rigid atau jumud. Jadi kita sentiasa memberi ruang kepada rakyat Perak atau para cendekiawan untuk memberikan cadangan ke arah penambahbaikan pelan ini.

Jadi saya tidak boleh mengatakan bahawa saya berpuas hati ataupun tidak dengan perjalanan pelan ini setakat ini. Kalau puas hati bermakna kita semua akan berhenti setakat apa yang ada.

Saya juga bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang terlibat daripada pucuk kepimpinan negeri; ketua-ketua jabatan; agensi Persekutuan; syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri sehinggalah kepada rakyat keseluruhan. Mereka memahami hasrat kita menerusi pelan ini dan semua nampaknya bekerja bersungguh-sungguh untuk menuju kepada kejayaan yang sama.

Jadi saya boleh katakan kita berada on the right track dengan pelan ini dan kita kena terus membangkitkan semangat untuk semua pihak bermotivasi untuk menjayakannya.

MalaysiaGazette: Datuk Seri sering turun padang menyantuni rakyat Perak, apa isu utama yang sering dibangkitkan mereka?

Saarani: Memang setiap bulan kita ada hari bertemu pelanggan atau rakyat yang kebiasaannya kita buat di Stadium Indera Mulia, Ipoh atau secara bergilir-gilir di daerah seluruh Perak. Setiap kali saya bertemu rakyat, jarang yang membangkitkan berkenaan masalah harga barang atau tekanan kos sara hidup. Sebab walaupun keadaan itu berlaku di seluruh negara, tetapi di Perak kita bersungguh-sungguh menanganinya menerusi pelbagai kaedah khususnya jualan harga rahmah selain daripada program yang dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan. Malah, dalam belanjawan negeri pun kita memperuntukkan sejumlah dana kepada agensi-agensi berkaitan supaya dapat menawarkan harga barangan pada kos yang rendah kepada penduduk setempat. Jadi memang jarang kedengaran rungutan berkenaan kenaikan harga barang.

Tetapi kebanyakan yang datang berjumpa kita pada hari bertemu pelanggan ini mereka membawa isu-isu yang sudah lama tertangguh seperti permohonan geran tanah atau yang mohon tanah tapi belum dapat kelulusan. Sebab itu kelebihan hari bertemu pelanggan ini apabila isu-isu sebegini dibawa oleh rakyat, kita dapat salurkan terus kepada agensi atau jabatan yang terlibat. Sebagai contoh kalau ada yang bangkitkan berkenaan masalah dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), maka Exco berkaitan akan terus berurusan dengan agensi terlibat. Begitu juga apabila ada yang bawa berkenaan permohonan pekerjaan dan sebagainya, Exco berkaitan akan cuba selesaikan dengan terus merujuk kepada pihak-pihak terlibat.

Cuma ada kalanya kita tak dapat terus membantu aduan-aduan yang berkait dengan agensi Persekutuan, sebagai contoh permohonan kerakyatan dan sebagainya. Untuk masalah seperti ini kita akan rujuk kepada agensi Persekutuan terlibat.

Jadi setakat ini, yang selalu penduduk merungut ini adalah perkara-perkara yang mereka mahukan supaya kehidupan mereka di Perak menjadi seronok dan bahagia.

MGP11022026_MB-PERAK-17-1024x683
Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika temubual eksklusif bersama MalaysiaGazette di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 FEBRUARI 2026.

MalaysiaGazette: Viral di media sosial baru-baru ini apabila Datuk Seri dilihat menghentam pembangkang ketika sidang DUN. Apa isu sebenarnya?

Saarani: Berkenaan perkara itu, ada yang menyatakan saya tidak boleh terima kritikan dan ada yang kata saya telah `menyekolahkan’ pembangkang Perak. Tapi itu sebenarnya tidak betul. Sebab kalau orang mengenali saya, mereka akan tahu latar belakang saya ini adalah seorang guru. Guru ini dia mengajar dan juga mendidik. Pendidik ini pertamanya mereka tidak berbohong. Keduanya pendidik ini kalau dia tersilap, dia akan segera meminta maaf. Itu jiwa pendidik. Yang ketiga, pendidik ini jika dia bercakap mesti berasaskan kepada data dan ilmu. Yang keempat, seorang pendidik ini dia kena memperbetulkan jika ada kesilapan atau kesalahan yang berlaku di depan mata. Bukan saya seorang, tetapi pendidik-pendidik lain pun seperti itu.

Saya juga boleh dianggap ADUN yang lama berkhidmat iaitu enam penggal di DUN Perak. Saya bermula pada 1999, pernah menjadi ADUN biasa sepenggal, pernah jadi Exco dan pernah jadi Ketua Pembangkang ketika BN kalah di Perak sebelum sekarang jadi Menteri Besar. Jadi semua kitaran itu saya sudah lalui. Kerana itu, saya selalu berpegang dan sebut dalam DUN termasuk Dewan Rakyat bukan tempat kita bergurau-senda. Bukan tempat kita nak buat fitnah atau untuk berceramah seperti ceramah politik, tak boleh. Dalam DUN setiap perkataan kita dicatatkan dan setiap keputusan itu menjadi dasar. Jadi tak bolehlah sesiapa pun sama ada wakil rakyat kerajaan atau pembangkang bercakap tidak berdasarkan fakta. Saya gembira sebab wakil-wakil rakyat di Perak tidak kira kerajaan atau pembankang semua fasih bercakap. Tapi sebagai orang lama, saya nak berpesan sebelum bercakap sesuatu isu itu kena buat research. Saya pernah tegur seorang wakil rakyat daripada Pas yang mencadangkan di dalam DUN supaya kerajaan negeri membina sebuah Kompleks Mahkamah Syariah di Gerik. Kerana katanya mahkamah syariah yang ada sekarang ini menumpang di pejabat agama. Saya ini orang Hulu Perak, pernah jadi guru di Gerik. Jadi saya tahu kompleks mahkamah syariah itu telah tersergam lama di sana. Jadi ia perkara yang tidak betul. Dan kalau pun perkara itu dibangkitkan oleh wakil rakyat kerajaan, saya akan tegur perkara yang sama, bila bercakap di sidang DUN pastikan berfakta.

Jadi saya ingatkan perkara ini sudah jadi pengajaran, tetapi  baru-baru ini berlaku sekali lagi apabila ADUN Kenering daripada Pas dengan penuh yakin membangkitka rasa simpati terhadap penduduk Kampung Tawai kononnya ada sebuah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) akan dibangunkan di kawasan mereka dan mereka bantah. Malah, katanya dibantah oleh Ahli Parlimen Lenggong sendiri (Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasrah). Jadi untuk dapatkan maklumat jelas saya tanya pegawai daerah (DO) sendiri dan diberitahu ia bukan projek PPRT, tetapi projek pembangunan kawasan (PPK). Itu sahaja sudah menunjukkan salah fakta. Kemudian DO beritahu bajet yang dikatakan RM50 juta untuk projek itu pun belum diluluskan lagi, baru hantar permohonan kepada UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri). Kemudian dikatakan Ahli Parlimen Lenggong bantah projek itu, tetapi menurut Datuk Seri Shamsul beliau tidak pernah menolak, malahan beliau kata kita meraikan bantahan orang kampung sebab tapak yang dicadangkan itu sudah ada projek rancangan perkampungan tersusun (RPT), jadi ada kewajaran kepada bantahan itu.

Sebab itu saya fikir kalau saya tak jelaskan perkara ini dalam sidang DUN, ia akan menjadi hansard dan akan dibaca oleh generasi akan datang seolah-olah perkara ini betul. Sebab itu saya selalu sebut dalam sesi pra-council dengan ADUN-ADUN kerajaan negeri, jika mahu berbahas dalam sidang DUN pastikan berfakta. Berbeza pendapat itu tak mengapa tapi jangan berbohong.

Begitu juga apabila ADUN Kuala Sepetang menyebut walaupun kerajaan negeri membentangkan belanjawan bernilai RM1.6 bilion tetapi tidak sampai atau tidak memberi apa-apa kesan dan tidak menjaga soal kebajikan rakyat. Saya kena betulkan dakwaan ini kerana dalam pembentangan bajet saya sudah sebut bagaimana kita menggunakan wang yang kita dapat ini kita tambah bilangan penerima bantuan JKM daripada 19,000 kepada 21,000 orang. Bagaimana kita menambah nilai bantuan daripada RM300 sebulan naik kepada RM400 kemudian kepada RM500. Itu bagi saya menyentuh soal kebajikan rakyat. Itu beberapa perkaralah, tidak bermakna saya `membelasah’ sesuka hati pembangkang, tetapi sebagai ketua kerajaan saya mesti ada tanggungjawab memperbetulkan fakta.

MGP11022026_MB-PERAK-40-1024x683
Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika temubual eksklusif bersama MalaysiaGazette di Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 FEBRUARI 2026.

MalaysiaGazette: Belanjawan Perak 2026 mendapat pujian ramai kerana dikatakan antara yang terbesar pernah diumumkan. Apa rahsia prestasi kewangan baik kerajaan negeri?

Saarani: Sumber kewangan negeri ini sebahagiannya datang daripada fail-fail mesyuarat Exco negeri. Sebab itu seboleh-bolehnya saya tidak mahu batalkan mesyuarat Exco melainkan kalau ada sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Mesyuarat Exco negeri ini berlangsung setiap Rabu dan kalau tak boleh diadakan pada sebelah siang, kita buat juga sama ada pada sebelah petang atau malam. Sebab dalam mesyuarat Exco itu ada permohonan tanah yang mana apabila kita luluskan, kita akan dapat duit premium. Ada juga permohonan tukar syarat tanah atau pecah sempadan yang apabila kita luluskan, maka kerajaan negeri akan dapat hasil. Semua berkaitan dengan permohonan tanah industri, kita bermesyuarat dan luluskan, itu semua duit (sumber kewangan) negeri.

Selain itu adalah tentang kestabilan politik di Perak itu sendiri. Kerajaan negeri hari ini adalah kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Dalam barisan Exco, ada tujuh daripada PH termasuk empat DAP, dua PKR dan satu Amanah. Hanya ada tiga orang Exco BN-UMNO dan saya sebagai Menteri Besar. Ramai yang kata kerajaan BN-PH Perak ini tidak akan bertahan lama, akan berlaku pergaduhan. Tetapi saya bersyukur sebab sehingga ke hari ini tidak ada apa-apa masalah. Memang ada perbezaan pendapat, itu perkara biasa. Tetapi pada akhirnya kita semua boleh bersetuju, buat keputusan dan teruskan pentadbiran kerajaan negeri. Meksipun dari parti yang berbeza, yang pernah bermusuhan, tetapi kita letakkan kepentingan negeri dan rakyat terlebih dahulu, bukan kepentingan politik masing-masing. Sebab jika berantakan sesama kita, Exco tak boleh bermesyuarat, tak boleh berbincang, jadi negeri tak akan dapat hasil.  Sebab itu kestabilan politik paling penting dan saya berterima kasih kepada pegawai kerajaan kerana kita dapat bermesyuarat seperti biasa. Itu paling penting ketika ini.

Saya juga bersyukur dan berterima kasih kepada pegawai-pegawai negeri yang bertanggungjawab dalam urusan kutipan cukai yang sangat cekap. Kalau tak dapat bayar di pejabat, kita ada van bergerak yang memudahkan urusan pembayaran cukai. Rakyat juga boleh bayar cukai menerusi online, di kaunter kerajaan negeri atau di bank. Jadi kecekapan dan kemudahan ini membantu kita mendapatkan hasil selain hasil-hasil berkait dengan sumber nadir bumi, pasir, silika, batu dan operasi kuari. Ada royalti yang dibayar kepada kerajaan menerusi perusahaan sumber-sumber ini. Jadi dari tahun ke tahun, kita dapat pertambahan cukai, jadi ia dengan sendirinya menambah peluang kepada kita untuk mempertahankan bajet negeri yang besar.

Menariknya juga apabila setiap tahun, duit (hasil negeri) yang masuk melebihi daripada apa yang kita harapkan. Itulah yang membolehkan kita mengumumkan bajet surplus setiap tahun, dan saya harap situasi ini akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang. Dan kita juga tidak boros dalam perbelanjaan negeri, kita berbelanja mengikut keutamaan. Pandemik Covid-19 misalnya mengajar kita supaya berbelanja mengikut keutamaan, bukan kerana ada duit. Kalau ada keperluan tetapi tiada duit, kita bersabar dulu. Sebab itu ketika Covid-19 saya jadi Menteri Besar yang terpaksa potong bajet, kerana saya tidak mahu orang selepas saya terpaksa menanggung hutang. Alhamdulillah, sekarang setiap tahun kita boleh umum bonus dua bulan gaji kepada penjawat awam Perak. Itu adalah gambaran betapa makmurnya ekonomi kita.

MalaysiaGazette: Datuk Seri sebut berkenaan kestabilan politik hasil kerjasama BN-PH ketika ini. Adakah Datuk Seri beranggapan kerjasama ini patut diteruskan pada PRU akan datang?

Saarani: Presiden parti (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) pun dah beritahu bahawa kita akan bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan ini sehingga tamat penggal. Kita pun tak tahu apa yang akan berlaku selepas tamat tempoh itu. Politik ini sangat dinamik. Tapi saya cuma nak gambarkan bahawa apa yang saya lalui sekarang saya tak ada masalah.

Walaupun BN-UMNO hanya ada sembilan kerusi dan PH ada 24 kerusi, tapi kita boleh menguruskannya dengan baik.

MGF11022026_INTERVIEW-SAARANI-MOHAMAD_15-1024x683 Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika temubual eksklusif bersama MalaysiaGazette di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 11 FEBRUARI 2026. Perak Sejahtera 2030
Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika temubual eksklusif bersama MalaysiaGazette di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 11 FEBRUARI 2026.

MalaysiaGazette: Menjelang PRU-16 yang semakin hampir, sejauh mana persediaan BN-UMNO Perak ketika ini?

Saarani: Kita memang sudah buat persiapan sebab mengambil kira beberapa pilihan raya kecil (PRK), jadi kita belajar dari situ dan ambil tauladan, yang tak elok kita jadikan sempadan. Kemudian kita juga belajar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Jadi war room negeri sentiasa update hasil kerja mereka dan melaporkan dalam mesyuarat biro politik negeri dan juga dalam mesyuarat PRU dan UMNO. Maksud saya, kita bersiap siaga. Pemuda, Puteri Wanita semuanya bersiap siaga. Kita tak tahu bila akan diadakan PRU sebab selepas tiga tahun ini, ia boleh diadakan pada bila-bila masa.

MalaysiaGazette: PRN Sabah memperlihatkan pengundi muda menjadi penentu kepada kemenangan calon. Adakah BN-UMNO Perak yakin dapat menguasai segmen pengundi ini pada PRU-16?

Saarani: Kita lihat pengundi baharu dan muda ini mereka tidak ada ideologi politik tertentu, sebaliknya mereka lebih bebas. Mereka juga tidak terhutang dengan mana-mana parti politik sebelum ini. Jadi mana-mana parti termasuk BN-UMNO perlu mendampingi mereka dan tak boleh salahkan kencenderungan politik mereka. Sebab mereka masih baharu dan tidak memahami berkenaan realiti politik. Jadi kita perlu meraikan dan menyantuni mereka supaya mereka faham dengan ideologi politik kita. Ini seperti yang Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebut sebelum ini yang mana kita tidak lagi boleh bercerita atau jual tentang sejarah, tetapi kita kena jual masa depan. Sebab itu di Perak ini apabila kita rangka Pelan Perak Sejahtera 2030 ia juga bagi kepentingan generasi muda, bukan sekadar slogan semata-mata. Kita mahu jadikan Perak ini negeri industri, nak bawa masuk pelabur-pelabur supaya kilang-kilang dapat dibuka sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan. Itu yang dikatakan kita menjual masa depan dan berharap mendapat sokongan pengundi-pengundi muda. Bayangkan kalau bertukar kerajaan pada PRU akan datang, siapa yang nak sambung Pelan Perak Sejahtera 2030? Sebab itu kita berharap generasi muda di Perak beri kita peluang untuk meneruskan kerja-kerja baik bagi menyediakan Perak yang makmur untuk mensejahterakan kehidupan.

Jadi sebab itu saya berpesan kepada sayap-sayap Pemuda dan Puteri supaya selalu turun padang berjumpa pengundi muda. Jangan salahkan mereka atau bawa budaya maki hamun dan fitnah. Hanya ceritakan bahawa kita menawarkan masa depan untuk orang muda Perak menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030.

MalaysiaGazette: Dalam melahirkan pemimpin pelapis, adakah, adakah BN-UMNO Perak sedia memberi lebih ruang kepada calon muda pada PRU-16?

Saarani: Kita menyediakan peluang kepada pemimpin muda, saya pun sudah melaporkan kepada Presiden UMNO untuk PRU-16 ini kita sediakan ruang kepada mereka. Tapi sudah semestinya kita mengambil kira faktor-faktor lain sebagai contoh seperti yang pernah disebut oleh penyelidik Ilham Centre berasaskan PRN Sabah, sokongan pengundi berasaskan kepada calon yang diyakini adalah sebanyak 58 peratus, berasaskan parti 20 peratus dan berasaskan isu 20 peratus. Jadi maknanya meletakkan calon yang betul itu mesti. Faktor winnable, likeable seseorang calon ini penting. Sebab itu mana-mana yang berhasrat menawarkan diri sebagai calon PRU kena pastikan dia adalah calon yang boleh menang dan mereka disenangi pengundi.

MalaysiaGazette: Kita lihat sekarang PN semakin tidak stabil apabila Pas dan Bersatu saling berbalah, malah dalam Bersatu sendiri pun ada yang bertelagah. Adakah ini memberi kelebihan kepada BN-UMNO di Perak?

Saarani: Kita diasuh dan diingatkan oleh Presiden kita yang penting adalah kita mesti menang berasaskan kekuatan kita. Kita kuatkan BN dan UMNO dengan jaga perpaduan, rajin bekerja, meraikan pengundi dan bantu rakyat sentiasa. Kalau pihak lawan lemah itu adalah bonus kepada kita. Tapi kalau mereka tidak lemah kita mesti memenangi PRU berasaskan kekuatan kita sendiri. Apa yang berlaku dalam hubungan PN itu terpulang kepada mereka. Yang penting kita sedang menguatkan parti kita. – MalaysiaGazette

MGF11022026_INTERVIEW-SAARANI-MOHAMAD_28-1024x683Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika temubual eksklusif bersama MalaysiaGazette di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 11 FEBRUARI 2026.

VIDEO PENUH:

EKSKLUSIF | Tolong Buat Homework Sebelum Bercakap, Jangan Bohong Atau Fitnah! – Saarani

EKSKLUSIF | Tolong Buat ‘Homework’ Sebelum Bercakap, Jangan Bohong Atau Fitnah! – Saarani

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI