IPOH – Walaupun sibuk dengan tugasan harian, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sempat ‘mencuri masa’ menziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau, Datuk Mohd Najmuddin Elias di Hospital KPJ Ipoh, pada Ahad.
Menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya, Saarani mendoakan supaya wakil rakyat terbabit diberikan kesembuhan kesembuhan dan dapat menjalankan tugas seperti biasa.
“Dalam sela urusan hari ini, saya menziarahi rakan saya Mohd Najmuddin di Hospital KPJ Ipoh.
“Saya doakan semoga beliau diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan rawatan supaya boleh kembali bertugas seperti sediakala. Amin,” katanya.
Sementara itu, dalam satu hantaran di Facebook rasmi Mohd Najmuddin, anak perempuannya memaklumkan bahawa bapanya kini stabil dan tidak lagi memerlukan bantuan pernafasan.
“Alhamdulillah, keadaan terkini ayah agak stabil dan tidak memerlukan lagi bantuan penafasan.
“Hari ini hari ketiga ayah dirawat di sebuah hospital swasta di Ipoh dan doktor memaklumkan virus sudah dapat dikawal, cuma masih ada virus di bahagian paru-paru sebelah kanan dan terbaru bahagian buah pinggang dan memerlukan sedikit masa lagi untuk dirawat.
“Doktor juga meminta ayah banyak berehat dari segala aktiviti kerana berkemungkinan jangkitan boleh menyerang semula bila-bila masa,” ujarnya.
Beliau yang mewakili keluarganya turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua kenalan jauh dan dekat yang sudi menziarahi serta mendoakan supaya bapanya segera sembuh untuk meneruskan tugas sebagai ADUN Batu Kurau.
“Terima kasih tidak terhingga khasnya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak yang menziarahi ayah sebentar tadi,” ujarnya.
Khamis lalu, Mohd Najmuddin dimasukkan ke Hospital Taiping selepas dijangkiti kencing tikus sebelum dipindahkan ke hospital swasta berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak pengeluar durian utama, durian kampung jadi tarikan eksport