Saarani nafi PKNP tidak hantar penyata kewangan kepada Jabatan Audit Negara

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menafikan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) tidak menghantar laporan penyata kewangannya setiap tahun kepada Jabatan Audit Negara seperti didakwa Ketua Pembangkang, Razman Zakaria.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebaliknya perbadanan itu telah menghantar laporan berkenaan setiap tahun selain menerima Sijil Bersih daripada Jabatan Audit Negara untuk penyata kewangan sejak 2021.

Jelas beliau, ia menjadi isu apabila PKNP menghantar lima laporan tahunan secara serentak kepada Jabatan Audit Negara bagi tahun 2018 hingga 2022.

“Ketika saya menjadi Menteri Besar pada tahun 2020, kerajaan negeri telah melantik Datuk Redza Rafiq Abdul Razak untuk menerajui PKNP mulai tahun 2021.

“Tak adil kita menyalahkan dia kerana beliau masuk tahun 2021, buku laporan yang tak disiapkan itu melibatkan tahun 2018, 2019, dan 2020.

“Saya tidak berniat untuk menyalahkan mana-mana pentadbiran sebelum ini, tetapi apabila isu ini dibangkitkan, maka saya rasa kita perlu bersikap adil kepada Redza dan pasukannya yang bekerja keras memulihkan PKNP sebagai antara pemacu pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2025 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Jelas Saarani (BN-Kota Tampan), proses menyediakan buku laporan tahunan perbadanan itu bukan mudah kerana ia menggabungkan laporan tahunan yang tertunggak sehingga tiga tahun.

Kata beliau, PKNP bukan sahaja perlu menyediakan laporan kewangannya sendiri, tetapi perlu menggabungkan laporan daripada anak-anak syarikatnya, yang sebahagiannya tersenarai di Bursa Malaysia.

“Pihak pengurusan bukan sahaja perlu tertakluk kepada garis masa dan pematuhan yang ketat, malah laporan yang disediakan mestilah teratur dan sistematik selain memenuhi piawaian atau standard tadbir urus yang tinggi.

“Laporan yang dihantar itu bukan sekadar longgokan buku-buku seperti yang disimpulkan oleh Yang Berhormat Gunong Semanggol.

“Ia adalah helaian-helaian yang mencerminkan setiap kerja keras dan kesungguhan pentadbiran semasa PKNP untuk memastikan anak syarikat kerajaan negeri ini dapat kembali bangkit sebagai penyumbang penting kepada pertumbuhan negeri,” katanya.

Tambah Saarani lagi, ia terbukti apabila PKNP yang mengalami kerugian RM36.46 juta pada tahun 2020, berjaya kembali mencatatkan keuntungan sebanyak RM3.51 juta pada tahun berikutnya.

“Kedudukan kewangan PKNP terus pulih, dengan keuntungan sebanyak RM21.59 juta pada tahun 2022, dan RM26.32 juta pada tahun 2023,” jelas beliau lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Kemelut 20 tahun terungkai, 97 petani terima ‘ex gratia’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI