BERUAS – Rakyat di Negeri Perak dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan pembangkang untuk menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di Kuala Lumpur.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penganjuran himpunan itu tidak akan membawa sebarang perubahan kepada pentadbiran negara, sebaliknya dikhuatiri boleh menjejaskan keyakinan pelabur yang akhirnya memberi kesan buruk kepada ekonomi rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi UMNO Perak menyifatkan perhimpunan sedemikian bukanlah satu cara yang baik untuk meraikan proses demokrasi.
“Perdana Menteri tidak boleh ditumbangkan melalui demonstrasi jalanan, sebaliknya individu yang memegang jawatan itu hanya boleh ditukar menerusi pilihan raya.
“Apa isunya (di sebalik penganjuran himpunan itu)? Melainkan hanya untuk mengumpulkan orang ramai, berpanas, menjerit dan mencetuskan huru-hara. Kemudian apabila pelabur lari, siapa yang rugi? Mereka (penganjur) dan yang negarawan itu sudah dapat pencen dan kaya-raya.
“Yang derita nanti adalah orang kampung. Sebagai wakil rakyat di kawasan kampung, saya faham kesannya. Nasihat saya kepada orang Perak, tidak perlulah pergi ke himpunan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Beruas di Dewan Inderawati, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Azman Noh.
Media sebelum ini melaporkan pihak penganjur menjangkakan sehingga 50,000 peserta akan menyertai himpunan tersebut Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini di Kuala Lumpur.
Timbalan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Ketua Pembangkang turut dilaporkan mengajak orang ramai menyertai himpunan berkenaan sebagai menyuarakan kegagalan pentadbiran kerajaan ketika ini.
Saarani menambah, pihak pembangkang seharusnya lebih fokus membantu kerajaan memberi penerangan kepada rakyat mengenai pelbagai inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.
“Saya hairan, mereka tidak pula bercerita tentang kenaikan gaji, peningkatan bantuan kerajaan kepada golongan miskin, dan bagaimana mata wang Malaysia semakin kukuh di pasaran.
“Sepatutnya pembangkang menyampaikan perkara-perkara baik ini, kerana kita semua tahu tidak semua kehendak boleh dipenuhi sekaligus,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketika ini, PN juga tidak mampu membentuk kerajaan kerana gabungan itu hanya memiliki 73 kerusi di Parlimen.
“Jika Anwar turun, siapa akan jadi Perdana Menteri? Tan Sri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) tak boleh jadi PM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) pun tak boleh jadi PM, Hamzah Zainudin juga tak boleh jadi PM.
“Ini kerana PN hanya ada 73 kerusi Parlimen, jadi ia tidak mungkin berlaku. Sebaliknya yang hadir ke himpunan itu hanya boleh menjerit sahaja,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: