IPOH – Seramai 750 pelajar, ibu bapa serta guru menyertai Program Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana Sempena Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023/2024 di Laman Seri Ridzuan, malam tadi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama isteri, Datin Seri Aezer Zubin turut hadir menyantuni program tersebut.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah dan Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Khan.
Program yang dikelolakan Yayasan Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak itu juga dihadiri calon-calon yang menduduki peperiksaan tersebut daripada 14 buah sekolah di sekitar Daerah Kinta Utara.
Selain itu, Kuliah Agama Bersama Menteri Besar Perak Sesi 1/2024 yang menampilkan penceramah jemputan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bertajuk, ‘Ilmu Bahtera Kehidupan’ turut diadakan program berkenaan.
Kepentingan ilmu dan pendidikan adalah antara perkara yang ditekankan dalam siri kuliah pada kali ini.
Ini bertepatan dengan peranan Yayasan Perak sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras sektor pendidikan bersama JPN yang akan terus memacu kejayaan Pendidikan untuk anak-anak di Perak.
Di Perak, seramai 27,814 orang calon sedang menduduki peperiksaan SPM sejak 8 Januari sehingga 7 Mac manakala 3,348 orang calon akan mengambil peperiksaan STPM dari 13 sehingga 21 Mac depan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Alunan selawat 2000 peserta berkumandang di Bulatan Sultan Azlan Shah
[…] Saarani sertai solat hajat calon SPM, STPM, STAM […]