Saarani zahir keprihatinan kepada rakyat melalui Belanjawan Perak 2025

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 5 Disember lalu sebulat suara meluluskan Belanjawan Negeri Perak 2025 berjumlah hampir RM1.52 billion selepas dibentangkan pada 29 November 2024.

Peruntukan terbesar dalam sejarah Perak itu membentangkan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM981.8 juta dan pembangunan RM538 juta.

Mengekalkan tema sama ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ belanjawan negeri itu menumpukan kepada kesejahteraan rakyat; tadbir urus projek berkepentingan negeri; pembangunan modal insan; kelestarian alam sekitar dan keterjaminan bekalan makanan.

Setiap kali pengumuman Belanjawan Perak, tumpuan akan diberi kepada peruntukkan kesejahteraan rakyat di negeri ini terutamanya dari segi bantuan seperti wang tunai, makanan mahupun bimbingan.

Dalam belanjawan kali ini Kerajaan Negeri Perak menyediakan peruntukan RM628.65 juta iaitu hampir separuh daripada keseluruhan belanjawan 2025 untuk dibelanjakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Malah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam pembentangan berkata, beliau bersama barisan Exco dan pentadbir negeri tidak jemu berada di lapangan mendampingi segenap lapisan rakyat.

Beliau berkata, pihaknya memilih untuk tidak hanya mendengar dari kejauhan tetapi hadir di tengah-tengah masyarakat, melihat dan merasai sendiri realiti kehidupan mereka.

Hasilnya, sebanyak RM45.94 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan sebahagian besar peruntukan dibelanja bagi tujuan Bantuan Am berjumlah RM31 juta.

Kadar bantuan am yang telah pun dinaikkan RM100 pada 2024, ditambah RM100 lagi dan menjadikan bantuan kepada 6,100 penerima meningkat menjadi RM500 sebulan berkuatkuasa Januari 2025.

Tidak cukup dari itu Kerajaan Negeri Perak juga menyediakan peruntukan mencecah RM30.22 juta dalam Belanjawan Perak 025 bagi pelaksanaan empat program kesejahteraan yang sangat akrab dengan kehidupan rakyat marhaen.

Program tersebut adalah Kad Perak Sejahtera berjumlah RM24 juta; Program Bantuan Kotak Makanan (RM5 juta); Kedai Bergerak Negeri Perak (RM0.82 juta) dan Jualan Rahmah (RM0.4 juta).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad kelihatan sebak ketika meembentangkan Belanjawan Perak 2025 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto ABDULLAH YUSOF, 29 NOVEMBER 2024.

Semasa pembentangan belanjawan Saarani turut sebak apabila menyentuh kesusahan rakyat marhaen yang bergelut memiliki kediaman.

Katanya, ketika turut berdampingan dengan rakyat di lapangan beliau melihat ada keluarga terpaksa berteduh di bawah bumbung yang hampir roboh dengan dinding berlubang dan lantai digenangi air.

Lantas kisah yang meruntun sanubari beliau itu menguatkan tekad Kerajaan Negeri untuk terus berikhtiar memastikan setiap rakyat atau keluarga mempunyai tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami.

Lantaran itu, Kerajaan Negeri Perak menyediakan perbelanjaan khusus berjumlah RM14.7 juta dalam merealisasikan keselesaan tempat tinggal rakyat.

Antaranya RM2.7 juta di bawah Akaun Amanah Ladang Masyarakat Kledang Mas bagi meneruskan Program Sayangi Rumahku; RM5 juta bagi pelaksanaan program Pinjaman Rumah Perakku Prihatin; RM3 juta pula disediakan kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Perak (LPHP) meliputi penyelenggaraan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rancangan Perumahan Awam (RPA).

Selain itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta kepada LPHP bagi penyelesaian isu hakmilik strata 310 penduduk rumah pangsa Taman Bersatu Kampung Boyan, Daerah Larut, Matang dan Selama.

Dengan segala yang diumumkan Saarani maka tidak hairanlah DUN Perak yang terdiri daripada kerajaan dan pembangkang sebulat suara meluluskan Belanjawan Perak 2025 tanpa sebarang pertelingkahan.

Malah barisan pembangkang menyifatkan kerajaan negeri dilihat telah berusaha melaksanakan yang terbaik untuk semua pihak pada pembentangan belanjawan kali ini.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria sendiri berkata, pegawai kewangan negeri dan kakitangan kerajaan telah melihat semua aspek dan mereka cuba buat yang terbaik dalam belanjawan kali ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin pula berpendapat, pembentangan belanjawan pada kali ini menunjukkan potensi dan perkembangan yang baik.

Beliau berkata, banyak penambahan dari segi peruntukan untuk segmen tertentu bagi beberapa segmen yang difikirkan mustahak terutamanya segmen berkaitan masyarakat dan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2025: RM1.52 bilion tertinggi dalam sejarah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI