KUALA LUMPUR – Sabitan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, disifatkan sebagai kemuncak kepada perjuangan panjang rakyat, aktivis, pengamal media dan tokoh masyarakat yang berani melawan budaya kleptokrasi meskipun berdepan tekanan, ugutan serta risiko peribadi demi memastikan keadilan ditegakkan.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, keputusan mahkamah tinggi semalam serta keputusan terdahulu dalam kes SRC International tidak seharusnya menjadi noktah akhir kepada usaha membanteras kleptokrasi dan rasuah dalam negara.
“Keputusan ini tidak bermakna jika Kerajaan Madani pada hari ini tidak berbuat apa-apa untuk mencegah lahirnya kleptokrat baharu dalam negara melalui reformasi institusi dan reformasi pilihan raya,” kata Bersih dalam satu kenyataan.
Menurut gabungan itu, kuasa pelantikan terutama melibatkan badan kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu direformasi segera agar institusi-institusi tersebut benar-benar bebas daripada cengkaman kuasa eksekutif, khususnya perdana menteri.
Semalam, Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion selepas didapati bersalah atas 25 pertuduhan melibatkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hukuman itu dijatuhkan selepas mahkamah mensabitkan beliau atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berkenaan.
Sebelum ini, Najib, 72, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).
Dalam pada itu, Bersih turut mengulangi pendirian bahawa kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki tidak wajar disambung, malah beliau perlu meletakkan jawatan susulan dapatan mahkamah bahawa wang yang dimasukkan ke akaun Najib bukanlah derma.
“Beliau patut meletakkan jawatan kerana mahkamah telah menyatakan bahawa duit yang masuk ke akaun Najib itu bukanlah duit derma,” kata Bersih, sambil menegaskan kenyataan itu bercanggah dengan kenyataan Azam Baki pada 2015 ketika menjawat jawatan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM. — MalaysiaGazette


