Sabotaj negara: Polis akan rakam keterangan 14 lagi individu – KPN

KUALA LUMPUR – Seramai 14 lagi individu akan dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan perbuatan sabotaj terhadap kestabilan negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kesemua individu itu telah dikenal pasti bagi membantu kelancaran siasatan kes berkenaan.

“Saya difahamkan lebih kurang 14 orang lagi akan diambil keterangan dan insyaallah setelah semuanya selesai kita akan kumpulkan dan hantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Ditanya sama ada isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid antara yang akan dirakam percakapan bagi membantu siasatan, beliau enggan mendedahkan sebarang nama.

“Semua ada dalam senarai kita dan saya tidak mahu menyebut mana-mana individu yang terlibat kerana siasatan masih lagi berjalan, biar kita buat,” jelasnya.

Tambah Mohd Khalid, sehingga kini Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah mengambil keterangan mereka bagi melengkapkan siasatan kes itu.

Untuk rekod, sebuah keluarga berpengaruh tempatan didakwa mendalangi komplot itu dengan menggunakan media antarabangsa serta pelobi luar negara.

Dakwaan itu terkandung dalam satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Pengadu dalam laporan itu mendakwa gerakan berkenaan membabitkan ahli keluarga terdekat seorang bekas menteri yang mempunyai pengaruh besar dalam landskap politik dan ekonomi negara suatu ketika dahulu.

Nizamuddin antara dua peguam yang dinamakan dalam satu laporan polis yang membawa kepada siasatan berhubung dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan.

Seorang lagi peguam yang dinamakan dalam laporan polis itu ialah Amir Zharif Abdullah.

Sebelum ini, Nizamuddin menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai pembohongan terbesar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI