Parkir hingga halang lalu lintas di HRPB tetap kena saman

IPOH – Pihak polis akan tetap mengenakan saman kepada orang ramai yang meletakkan kenderaan di luar pekarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) jika didapati menghalang lalu lintas serta membahayakan kenderaan lain.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, kawasan yang tidak dibenarkan adalah di hadapan perhentian bas di kedua-dua hala Jalan Raja Ashman, susur keluar masuk hospital, Bulatan Jalan Raja Ashman Shah dan parkir berganda (double parking).

“Pertama, parkir di depan perhentian bas, itu langgar undang-undang. PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan MBI (Majlis Bandaraya Ipoh) akan tetap menjalankan tugas mereka dengan mengeluarkan saman dan kerajaan negeri tidak akan campur tangan.

“Kedua, orang ramai juga dilarang parkir di susur keluar dan masuk hospital kerana ia menghalang ambulans serta di kawasan bulatan berhampiran.

“Bagaimanapun, polis tetap akan bertolak ansur jika kenderaan yang diparkir di jalan tersebut tidak menghalang laluan kenderaan lain,” katanya.

Saman dikenakan kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas di HRPB
Pelawat dibolehkan meletak kenderaan di tepi jalan atas dasar tolak ansur dan tidak mengganggu pengguna jalan raya yang lain di hadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 OKTOBER 2024.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung isu parkir HRPB di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Akmal Hizam Abd Khupur dan Pengarah Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ahmad Zaiyadi Sudin.

Menyentuh mengenai pembinaan parkir sebuah kompleks parkir bertingkat yang akan dibina bagi mengatasi kekurangan tempat letak kenderaan di hospital berkenaan, Sivanesan memaklumkan pihaknya masih menunggu maklum kertas kerja daripada syarikat terbabit.

Saman dikenakan kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas di HRPB
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A. Sivanesan melakukan tinjauan di Jalan Raja Ashman Shah berhubung isu parkir di sekitar Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 OKTOBER 2024.

“Tahun lalu kita ada berbincang dengan sebuah syarikat swasta untuk mendirikan parkir bertingkat melibatkan 360 petak di kawasan berhadapan Klinik Kesihatan Greentown.

“Bagaimanapun, setakat ini kita belum menerima kertas cadangan daripada syarikat berkenaan.

“Namun, kalau mereka kembali dengan kertas cadangan itu, kerajaan negeri tiada masalah (untuk memberi kelulusan) kerana pembinaannya akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.

“Selain itu, orang ramai sama ada pesakit atau pelawat yang ingin ke hospital boleh meletakkan kenderaan di Velodrome Rakyat yang terletak di Kompleks Sukan Ipoh.

“Parkir tersebut dibuka setiap hari dari jam 7.30 pagi sehingga 7.30 petang dan orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan van perantaraan (shuttle van) dengan kekerapan perjalanan setiap 30 minit,” ujarnya.

Saman dikenakan kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas di HRPB
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A. Sivanesan bercakap pada media berkenaan isu parkir di sekitar Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 OKTOBER 2024.

Ujar beliau, HRPB dan KK Greentown mempunyai lebih kurang 5,000 kakitangan bahagian pengurusan dan professional termasuk bahagian sokongan dan pelaksanaan.

Katanya, 80 peratus daripada kakitangan terbabit menggunakan kenderaan sendiri khasnya bahagian pengurusan dan professional disebabkan itu pihak hospital perlu menyediakan parkir untuk mereka.

“Setakat ini, sebanyak 1,310 parkir disediakan di HRPB untuk kakitangan (624 petak), orang awam, pelawat dan orang kurang Upaya (OKU) (670) dan ambulans (16),” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KKM lulus peruntukan RM1.2 juta untuk katil baharu HRPB

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI