Saman pensyarah, MCA persoal kebebasan besuara diperjuang DAP

KUALA LUMPUR – MCA mempersoalkan kebebasan bersuara yang diperjuangkan DAP selama ini susulan tindakan saman Ahli Parlimen DAP Kampar, Chong Zemin terhadap seorang pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, tindakan saman itu seolah-olah menyekat kebebasan bersuara rakyat sekali gus melanggar pendirian DAP dan Pakatan Harapan (PH) selama ini.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan sama ada rakyat langsung tidak boleh bersuara atau mengkritik dasar-dasar DAP meskipun ia menjurus ke arah kebaikan.

“Jika sebelum ini DAP sering menuntut hak kebebasan bersuara, namun yang sebaliknya berlaku pada hari ini selepas mereka memerintah.

“Apa salahnya untuk seorang rakyat biasa memberi kritikan konstruktif kepada seorang wakil rakyat?

“Ditekankan, kritikan konstruktif tidak sama seperti fitnah, dan wakil rakyat DAP disaran mengetahui perbezaan antara kedua-dua ini,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, Choo Seong berkata, sekiranya DAP tidak dapat menerima teguran, tindakan yang sepatutnya diambil adalah memberikan penjelasan, bukannya terus bertindak mengemukakan tuntutan saman apatah lagi ke atas orang awam.

“Perlu ditekankan kebebasan bersuara ini adalah hak asasi semua rakyat Malaysia.

“Sebagai sebahagian Kerajaan Madani, kami tidak mahu DAP dilihat seolah-olah tidak boleh ‘disentuh’ langsung,” katanya.

Terdahulu, pensyarah UTAR, Teh Boon Teck menerusi laman sosial Facebook beliau mengesahkan menerima notis tuntutan saman berjumlah RM2 juta daripada Chong Zemin yang mendakwa beliau memfitnah Ahli Parlimen DAP Kampar berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI