Saman sivil dagangan orang dalam: Bekas CEO PKNP diarah bayar RM2.46 juta kepada SC

IPOH – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memenangi saman sivil dagangan orang dalam terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Perak Corporation Bhd (PCB), Datuk Aminuddin Md Desa, pada Selasa.

Dalam satu kenyataan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Wan Muhammad Amin Wan Yahya memerintahkan Aminuddin membayar RM2.46 juta kepada SC, iaitu tiga kali ganda keuntungan yang diperoleh hasil daripada pelanggaran dagangan orang dalam.

Aminuddin juga dikehendaki membayar sebanyak RM1 juta dan kos sebanyak RM100,000 kepada SC sebagai penalti sivil.

Aminuddin didapati melanggar seksyen 188(2)(a) dalam Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dengan memperoleh 1.41 juta saham PCB antara Oktober 2013 dan Januari 2014 semasa dalam pemilikan maklumat dalaman.

Maklumat dalaman tersebut adalah berkenaan cadangan penswastaan PCB oleh PKNP.

Di samping itu, Mahkamah Tinggi juga melarang Aminuddin daripada dilantik sebagai ketua pengarah eksekutif atau pengarah atau terlibat dalam pengurusan syarikat tersenarai awam (PLC) dan atau anak syarikat PLC, selama lima tahun bermula dari keputusan mahkamah pada Selasa.

Aminuddin juga dihalang daripada melakukan sebarang aktiviti dagangan dalam mana- mana sekuriti di Bursa Malaysia selama lima tahun bermula tempoh sama.

Dagangan orang dalam adalah salah laku yang serius dalam pasaran modal.

Penguatkuasaan berterusan oleh SC menggariskan komitmennya untuk menangani salah laku dalam menyalahgunakan integriti pasaran modal. -MG Perak.

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI