PARIT – Seorang usahawan sambal pecal termenung memikirkan nasib perniagaan yang diusahakan sejak 2017 itu musnah dalam kejadian banjir di Kampung Serapoh, di sini, pada Rabu.
Norlizah Sudar, 50, berkata, banjir yang disifatkan terburuk dalam tempoh 10 tahun itu bukan sahaja memusnahkan peralatan perniagaan bersama puluhan paket sambal pecal, malah turut menjejaskan kediamannya.
Menceritakan detik kejadian Norlizah berkata, ia bermula dengan hujan lebat beserta petir sekitar jam 6 petang pada Rabu sebelum air mula naik dengan cepat dan deras.
“Kawasan kami ini memang sering banjir tetapi selalunya air akan naik sekitar 0.3 meter sahaja namun malam tadi air naik setinggi 1.0 meter dan ia berlaku dengan pantas .
“Saya, suami dan anak-anak sudah angkat barang letak pada ketinggian yang biasa kami letak sebab banjir sering jadi, tapi malam tadi air terlalu tinggi habis semua barang terapung,” katanya ketika ditemui, di sini, pada Khamis.
Norlizah berkata, secara keseluruhan dia terpaksa menanggung kerugian lebih sekitar RM20,000 termasuk kerosakan mesin-mesin dan peralatan bagi perniagaannya yang dianggar berjumlah RM15,000.
Ujarnya, bengkel yang diusahakan sejak 2017 dengan bantuan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu menempatkan mesin pengisar, mesin tumbuk dan bahan-bahan mentah serta produk yang sudah siap.
“Habis semuanya kena air tiada apa yang dapat saya selamatkan lebih sedih bila buka pintu bengkel saya lihat sambal pecal terapung.
“Saya dan suami termenung memikirkan apa yang boleh kami lakukan memandangkan semua peralatan perniagaan rosak dan musnah kena air banjir,” katanya.
Tambahnya, ekoran itu dia terpaksa menghentikan jualan sambal pecalnya melibatkan lebih 150 ejen seluruh negara buat masa ini.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir Roziah Sudar, 66 berkata, dia dan keluarga terpaksa meredah arus deras untuk menyelamatkan diri selepas kediaman mereka dinaiki air.
Kakak kepada Norlizah itu berkata, dia terpaksa berpaut pada dua anaknya ke tempat tinggi selepas diarahkan oleh pasukan penyelamat untuk berpindah apabila paras air mencapai 1.0 meter.
“Dalam jam 10 malam itu, polis minta penduduk pindah dan waktu itu arus air mula deras, saya dan suami terpaksa harung sambil dibantu anak-anak.
“Apabila sampai rumah pagi ini, meleleh air mata tengok rumah seperti tongkang pecah, habis semua barangan musnah dan tiada satu pun pakaian yang tinggal untuk dipakai,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
209 mangsa banjir di Perak Tengah dipindahkan ke PPS
Banjir terburuk pernah berlaku, air naik hingga paras pinggang