IPOH – 34 pemilik kebun durian yang menyedut air melalui sambungan paip secara haram daripada sumber tadahan air dipercayai menjadi punca kepada gangguan bekalan air di Mukim Chegar Galah, Sauk, di Kuala Kangsar sejak bulan lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kegiatan itu telah menyebabkan paras air di takungan susut sehingga Loji Rawatan Air (LRA) Sauk tidak dapat membekalkan bekalan air yang mencukupi untuk disalurkan kepada pengguna.
“Kita mendapati pekebun-pekebun durian ini dengan sendirinya telah mengambil air dari takungan LRA berkenaan. Susulan itu saya telah meminta Lembaga Air Perak (LAP) dan Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak (LPSA Perak) untuk mengambil tindakan dalam tempoh terdekat.
“Ia termasuk mencabut semua sambungan paip berkenaan kerana tindakan itu telah menyalahi undang-undang kerana ia secara jelas telah mengambil air daripada sumber takungan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Pelancaran Buku Rujukan Tambahan Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah; Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Khan serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Zulkafli Mohamed Mokhtar.
Menurut Saarani, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan tindakan undang-undang boleh diambil kepada pihak terlibat, namun pendekatan berhemah turut dipertimbangkan.
Walau bagaimanapun ujar beliau, tindakan penguatkuasaan sedang dilaksanakan dan dijangka ia mampu memulihkan semula bekalan air di kawasan terjejas dalam masa terdekat.
“Saya percaya LPSA Perak telah mengambil tindakan berhubung isu ini dan saya jangka sekiranya ia dapat diselesaikan, bekalan air akan meningkat.
“Apabila ia berlaku, LRA di situ boleh sedut air dan disalurkan kembali kepada pengguna di sekitar kawasan berkenaan,” ujarnya.
Pada masa sama, Saarani meminta agar pekebun yang terlibat untuk mencari kaedah mendapatkan bekalan air dengan mematuhi peraturan tanpa menjejaskan sumber utama.
“Jika mereka perlukan sumber air untuk menyirami tanaman durian khususnya, mereka boleh ambil air di bawah daripada LRA, sama seperti orang lain. Cuma jangan ambil air daripada sumber air.
“Dengan 34 orang (pekebun durian) itu jika kita biarkan (tanpa sebarang tindakan), mungkin ia akan bertambah kepada 50 orang, dan lagi ramai orang menyedut air situ, lagilah kekurangan air untuk LRA,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan dianggarkan 3,000 penduduk dari sekitar 13 kampung di mukim Chegar Galah terkesan susulan gangguan bekalan air sejak 9 Mac lalu.
Antara kawasan yang terkesan termasuk Kampung Jenalik Hilir, Kampung Jenalik Hulu, Kampung Ngor, Kampung Sewai, Kampung Chegar Galah, Kampung Bendang Selinsing, dan Kampung Baru Liman Kati. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


