LUMUT – Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Koperasi Pangkor Berhad (KPB), pada Ahad sebagai usaha merancakkan lagi industri pelancongan di pulau peranginan berkenaan.
Majlis berkenaan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MIDF, Azizi Mustafa bersama Pengerusi KPB, Azmi Abd Hamid sambil disaksikan kira-kira 10 ahli lembaga koperasi di Pangkor Village Beach Resort, Pulau Pangkor, dekat sini.
Menurut Azizi, inisiatif berkenaan merupakan usaha MIDF dalam menyahut saranan Kerajaan Persekutuan melalui Program Satu Pemimpin Satu Kampung atau Santuni Madani dan Kampung Nipah dipilih sebagai lokasi program.
Kata beliau, perjanjian yang ditandatangani itu menggariskan peranan kedua-dua pihak dalam memastikan kejayaan beberapa projek yang sedang dan bakal dilaksanakan di situ.
Ujar Azizi, projek terawal yang sedang dilaksanakan adalah membaik pulih Kolam Rekreasi Air Terjun Teluk Nipah di Kampung Nipah yang menelan belanja RM50,000.
“Kami memilih kampung berkenaan kerana projek yang diusulkan merupakan produk pelancongan yang mempunyai potensi besar dalam sosioekonomi penduduk setempat.
“Malah, projek yang sedang dilaksanakan itu juga membantu kami menyahut inisiatif memperkasakan kelestarian flora dan fauna di Pulau Pangkor,” katanya pada sidang media selepas menandatangani MoU berkenaan, di sini, pada Ahad.
Tambah beliau, projek yang memasuki fasa pertama itu melibatkan antaranya kerja-kerja memperbaiki kebocoran dan menguatkan struktur dasar kolam bagi mengelakkan hakisan.
Menurut Azizi lagi, kerja-kerja ke atas kolam berkenaan dijangka akan siap pada awal tahun hadapan, bergantung kepada situasi cuaca semasa.
“Berdasarkan lawatan tapak, kami dimaklumkan aktiviti seperti ‘glamping’ atau perkhemahan mewah serta merentas hutan mempunyai potensi besar untuk diwujudkan di Kampung Nipah.
“Justeru pada perancangan masa hadapan, kita akan melihat ke arah itu yang mana MIDF amat menyokong usaha menggalakkan aktiviti riadah yang sihat dalam kalangan pelancong,” katanya lagi.
Sementara itu Azmi memberitahu, KPB menyambut baik dan menzahirkan penghargaan terhadap MIDF atas kesediaan agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu untuk menjalinkan kerjasama dengan pihaknya.
Jelas beliau, projek membaik pulih Kolam Rekreasi Air Terjun Teluk Nipah itu bukan sahaja akan memberi impak positif kepada 50 pengusaha resort di Kampung Nipah, malah kesan sama akan dirasai kira-kira 15,000 penduduk di Pulau Pangkor yang kebanyakannya terlibat secara aktif dalam sektor pelancongan.
“Melalui usaha ini, KPB akan bertindak sebagai pemudahcara dalam memastikan setiap projek yang diusulkan dapat dilaksanakan dengan baik.
“Malah, kami juga akan menjadi sebagai mata dan telinga MIDF untuk memantau projek seperti baik pulih kolam berkenaan siap mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: