KUALA LUMPUR – Hampir keseluruhan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disalurkan melalui MyKad sepanjang tahun lalu telah digunakan oleh penerima dengan nilai perbelanjaan mencecah RM4.8 bilion, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, berdasarkan rekod 2025, kira-kira 5.6 juta penerima SARA bulanan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menggunakan kredit MyKad mereka untuk membeli barangan keperluan asas, dengan kadar penggunaan hampir 99 peratus.
“Daripada peruntukan RM5 bilion, hampir semuanya telah dimanfaatkan oleh penerima untuk keperluan harian di premis Rakan Niaga SARA,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (Sekijang-PH) yang bertanya terbabit jumlah peruntukan program SARA melalui sistem MyKasih sepanjang 2025 serta nilai sebenar transaksi dijana dalam pasaran tempatan.
Zaliha juga bertanya tentang status baki bantuan yang tidak dibelanjakan penerima hingga tarikh luput 31 Disember 2025 dan apakah pelan penambahbaikan sistem pada tahun ini.
Kata Amir Hamzah, SARA disalurkan dalam bentuk kredit tanpa tunai melalui MyKad dan boleh digunakan di kedai berdaftar bagi membeli 14 kategori barangan asas termasuk makanan, barangan kebersihan dan ubat-ubatan.
Katanya, kaedah itu membolehkan kerajaan memantau penggunaan bantuan serta memastikan ia benar-benar digunakan untuk tujuan yang sepatutnya.
Selain bantuan bulanan, Amir Hamzah berkata, program Penghargaan SARA secara one-off turut mencatat penggunaan tinggi, apabila lebih 21 juta rakyat membelanjakan bantuan mereka, bersamaan 96 peratus daripada jumlah penerima, dengan nilai transaksi melebihi RM2.05 bilion.
Mengenai baki bantuan yang tidak digunakan sehingga 31 Disember 2025, beliau memaklumkan sebanyak RM150 juta akan diagihkan semula kepada kumpulan yang memerlukan.
Antaranya melibatkan penghuni pusat perlindungan, mangsa keganasan rumah tangga, pelajar orang kurang upaya dan berkeperluan khas, pesakit miskin, serta program dapur siswa di institusi pengajian tinggi.
“Langkah ini memastikan tiada peruntukan yang terbazir dan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengumumkan pelaksanaan program SARA Untuk Semua iaitu bantuan one-off RM100 melalui MyKad yang akan bermula 9 Februari ini.
Menurutnya, peruntukan sebanyak RM2.2 bilion disediakan bagi semua warganegara berumur 18 tahun ke atas, tanpa perlu membuat permohonan.
“Kredit akan dimasukkan secara automatik dan boleh digunakan sehingga 31 Disember 2026,” katanya.
Menjawab soalan tambahan mengenai penambahbaikan program, Amir Hamzah berkata kerajaan sentiasa terbuka menerima pandangan bagi menambah baik pelaksanaan SARA.
Beliau berkata, antara penambahbaikan ialah memastikan kedai runcit yang ingin menjadi Rakan Niaga SARA menjual sekurang-kurangnya tujuh kategori barangan asas yang ditetapkan.
Kerajaan juga sedang mengkaji cadangan memasukkan makanan sejuk beku sebagai kategori baharu, selain meneliti kemungkinan membenarkan penjualan barangan basah seperti ayam, daging dan ikan pada masa depan.
Setakat awal Februari, jumlah Rakan Niaga SARA telah meningkat kepada 10,771 premis di seluruh negara, termasuk lebih 3,000 kedai runcit kecil persendirian.
Menurut beliau, kerajaan menyasarkan untuk memperluaskan lagi rangkaian kedai terlibat menjelang hujung tahun ini, bagi memudahkan rakyat mendapatkan bantuan berhampiran tempat tinggal mereka.
Amir Hamzah berkata, kerajaan akan terus memperkukuh program SARA sebagai antara langkah utama membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup. – MalaysiaGazette


