SARA: DPPM Perak sambut baik sasaran libatkan peniaga kecil

IPOH – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak menyambut baik langkah kerajaan memperluas sehingga 10,000 pendaftaran baharu program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada peniaga kecil termasuk pengusaha kedai runcit di kawasan kampung.

Yang Dipetua DPPM Perak, Amirudin Tajudin berkata, langkah itu sekaligus dilihat dapat membantu meningkatkan jualan peniaga kecil khususnya yang berada di kawasan pedalaman.

Katanya, ketika ini hanya pasar raya dan pasar mini yang berdaftar sahaja, dengan kebanyakannya terletak di kawasan bandar sahaja yang mendapat manfaat daripada program SARA.

“Dengan sasaran 10,000 peniaga, termasuk peniaga kecil dan kedai runcit di kampung-kampung, ia bukan saja memudahkan penduduk kampung untuk membuat pembelian, malah membantu meningkatkan jualan peniaga kecil,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Justeru itu, Amirudin menasihatkan agar golongan peniaga kecil dan pemilik kedai runcit untuk merebut manfaat yang disediakan kerajaan.

Kata beliau, selain menambah stok barangan keperluan, mereka mungkin boleh mempertimbangkan untuk menambah baik keadaan premis perniagaan masing-masing demi keselesaan para pelanggan.

Pada Isnin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memperluaskan pendaftaran baharu program SARA kepada peniaga kecil termasuk kedai runcit.

Beliau dilaporkan berkata, inisiatif itu diambil bagi menangani isu yang mana masih terdapat penduduk kampung belum berdaftar dalam sistem sedia ada.

Ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026, Anwar berkata, sasaran yang ditetapkan membabitkan 10,000 peniaga kecil dalam program SARA sekali gus memperluas manfaat bantuan itu di peringkat akar umbi.

Mengulas lanjut, Amirudin juga mengalu-alukan langkah kerajaan untuk mengadakan Program Jualan Rahmah MADANI tiga kali sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana menyedari kebimbangan rakyat terhadap kenaikan harga barang.

“Dengan lebih 23,000 Jualan Rahmah MADANI yang akan diadakan, ia dapat memastikan barangan asas dijual pada kadar lebih rendah berbanding harga pasaran setempat,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

10,000 kedai kecil terlibat dalam Program SARA menjelang akhir tahun ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI