Sasar 2,500 premis makanan gred A menjelang 2025 – Datuk Bandar

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyasarkan 2,500 premis makanan di bandar raya ini mencapai tahap kebersihan Gred A menjelang tahun 2025.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin@Md Daud berkata pada tahun ini sebanyak 359 premis makanan telah dianugerahkan sijil penilaian Gred A sehingga September lalu.

Menurutnya, pemberian sijil tersebut aberdasarkan Establisymen Makanan yang dikeluarkan Jabatan Kementerian Tempatan, Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kalau boleh kita nak lebih banyak lagi kedai (premis makanan) yang dapat Gred A supaya banyak lagi kedai dapat masuk pertandingan kebersihan seperti hari ini.

“Kita nak restoran dan kafe mendapat (Gred) A++. Ini kerana kita mahu orang tahu yang Ipoh ini bukan sahaja makanannya enak tapi mempunyai tahap kebersihan yang tinggi dan itulah sasaran kita pada tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Anugerah Restoran dan Kafe Terbersih dalam kawasan pentadbiran MBI dan Penyerahan Sijil Gred A Sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia 2023 di Dewan Azlan Shah MBI, pada Isnin.

Rumaizi berkata setakat ini tiada tindakan penutupan premis makanan dilakukan namun pemilik premis diberikan nasihat supaya tidak mengulangi perkara sama pada masa akan datang.

“Setakat ini tiada penutupan kedai kotor. Bagaimanapun, dalam masa terdekat akan ada operasi bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta menggerakkan operasi penutupan jika perlu,” katanya.

Terdahulu, Rumaizi menyampaikan hadiah kepada 10 premis makanan berlesen MBI yang dipilih memenangi pertandingan Restoran dan Kafe Terbersih 2023 anjuran pihak berkuasa tempatan tersebut.

Restoran Cawan Mu F&B, De Garden Ipoh dinobatkan tempat pertama dalam  dengan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,500; diikuti, tempat kedua Dragon Seafood Restaurant Sdn Bhd, Falim lpoh yang menerima wang tunai sebanyak RM1,000 manakala tempat ketiga, Wing’s Delight Sdn Bhd, Greentown lpoh menerima wang tunai sebanyak RM750.

Tujuh premis lain menerima hadiah saguhati wang tunai RM250 dan semua pemenang turut menerima sijil penghargaan. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI