KUALA KANGSAR – Seorang maut manakala tiga cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan sebuah kereta jenis Proton Saga di Kampung Jamuan, di sini malam Khamis.
Mangsa maut adalah pemandu kereta, Chuah Weh Chong, 35, manakala tiga lagi mangsa cedera merupakan penumpang bas yang berusia antara 47 hingga 70 tahun.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 7.08 malam.
Menurutnya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian kita mendapati seorang mangsa tersepit dalam kereta Proton Saga.
“Pasukan perubatan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) yang bertugas turut memaklumkan, tiga penumpang bas cedera ringan dan telah dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
“Ketua Operasi melakukan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan.
“Anggota menggunakan peralatan teleskopik bagi membuat renggangan dan pemotong hidraulik untuk membuat potongan di bahagian kereta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dua lelaki maut, lori telur rempuh lori simen