‘Saya berselawat, tetapi bas terus dipandu laju’

GERIK – Seorang mangsa terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli, dekat sini, mendakwa bas yang dinaikinya dipandu dalam keadaan laju sebelum kejadian berlaku.

Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Aleeya Maisarah Azizzani, 21, mendakwa, dia turut terhidu bau hangit ketika bas sampai di Tanah Merah, Kelantan.

Menurutnya, dia terjaga daripada tidur selepas menyedari bas melanggar lubang atau lopak air sebaik tiba di kawasan Jeli.

“Saya duduk di sebelah kanan dan nampak seolah-olah bas seperti mahu terbabas ke kanan. Saya rasa berdebar dan terus berselawat.

“Saya ingatkan pemandu akan memperlahankan kenderaan, tapi sebaliknya dia terus memandu laju,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam hingga 1 pagi itu, seramai 15 pelajar UPSI maut manakala 27 lagi cedera selepas bas yang membawa mereka merempuh bahagian belakang MPV berkenaan di laluan JRTB Gerik–Jeli.

Mengulas lanjut, Aleeya berkata, insiden tragik itu masih bermain di fikirannya kerana dia menyaksikan sendiri rakan-rakan yang tersepit dalam bas.

Malah katanya, terdapat juga penumpang yang tercampak ke dalam longkang dan mengalami kecederaan serius.

“Saya dengar rintihan rakan-rakan yang meminta tolong. Ada juga yang sudah tidak bersuara.

“Saya sendiri tidak dapat membantu kerana mengalami sakit pada bahagian belakang badan dan tidak mampu bergerak,” ujarnya.

Katanya lagi, meskipun dalam kesakitan, dia tetap cuba mengumpul kekuatan untuk mencari jalan keluar dari bangkai bas berkenaan.

“Dalam keadaan itu, saya nampak orang awam dan pasukan keselamatan datang membantu kami di lokasi kejadian,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Nahas 15 pelajar UPSI maut: Bas hilang kawalan, langgar MPV – Laporan awal polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI