LARUT – Keluarga kepada penunggang motosikal yang maut akibat dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Klang, di Selangor pada Ahad nekad mahu mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut keadilan buat arwah.
Isteri Allahyarham Amirul Hafiz Omar, Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata, keputusan itu juga dibuat sebagai suatu pembelaan buat tiga anaknya, Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7 dan Nur Humaira, 2, yang kini kehilangan bapa tersayang.
Katanya, perbincangan lanjut berhubung perkara itu juga telah diadakan bersama ahli keluarga bagi mendapatkan pembelaan buat arwah yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu.

Isteri Allahyarham Amirul Hafiz Omar, Nor Nadia Abdul Majid, 32, bersama tiga anaknya, Muhammad Aqif Amsyar, 9, Muhammad Afif Izz Rayqal, 7 dan Nur Humaira, 2, bersedih ketika ditemui di kediaman keluarga arwah di Kampung Repoh di Batu Kurau, Larut. Foto ABDULLAH YUSOF 30 MARCH 2026.
“Saya nak ambil tindakan (undang-undang), dan saya kena ‘fight’ (lawan) demi keadilan semua (arwah dan ahli keluarga, terutama) kepada anak. Saya tetap nak saman.
“Kami juga telah dihubungi pihak peguam yang sudi menawarkan perkhidmatan bantuan guaman kepada kami dalam hal ini, esok akan ada perjumpaan dengan peguam tersebut,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga arwah di Kampung Repoh di Batu Kurau, dekat sini, pada Isnin.
Menurut Nor Nadia, tindakan tegas perlu diambil ke atas pelaku yang menjadi punca tragedi yang meragut kebahagiaan dia sekeluarga.
Katanya, ia lebih memberi kesan apabila dia baru sahaja dua bulan bekerja sambilan di sebuah syarikat perkhidmatan kurier bagi membantu meringankan beban suami.
“Suami saya bawa motosikal dalam keadaan baik, tak ada tengok telefon bimbit atau buat apa-apa kesalahan. Malah dia tunggang motosikal dalam keadaan perlahan.
“Saya sudah hilang tempat bergantung. Sekarang saya dah tak ada suami, dan anak-anak masih kecil lagi. Sekarang saya fikir anak-anak sahaja. Anak-anak nak membesar, nak sekolah dan perlukan pelajaran.
“Kini InsyaAllah anak-anak faham (mereka kehilangan ayah) dan selepas arwah selamat dikebumikan, baru saya tunjukkan video kemalangan itu kepada anak-anak. Mereka ada cakap ‘Mama, sakitnya papa’,” katanya.
Menceritakan kejadian lanjut tentang detik hitam dalam hidupnya itu, Nor Nadia berkata, ketika itu suaminya sedang dalam perjalanan untuk membeli buku teks matematik untuk anak sulungnya di Seksyen 19, Shah Alam.
Katanya, dia sempat berhubung ringkas dengan suami melalui aplikasi WhatsApp sebelum ia tidak dijawab, dan disusuli dengan panggilan telefon daripada pihak polis.
“Seorang pegawai polis menelefon dan memaklumkan bahawa suami saya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Pada saat itu saya menjerit dan terus teringat akan ibu mertua sebelum saya kemudian menghubunginya untuk memaklumkan tentang kejadian.
“Ketika di hospital, saya lihat keadaan jenazah suami saya cukup sempurna, seolah-olah sedang tidur sahaja,” katanya lagi.

Isteri Allahyarham Amirul Hafiz Omar, Nor Nadia Abdul Majid, 32, sebak ketika ditemui media di kediaman keluarga arwah di Kampung Repoh di Batu Kurau, Larut. Foto ABDULLAH YUSOF 30 MARCH 2026.
Nor Nadia turut berkongsi apabila ketika hayat, Amirul ada berpesan kepadanya untuk tinggal di kampung sekiranya suaminya pergi menghadap Ilahi.
“Saya pernah cakap pada dia, bagaimana kalau saya kehilangan dia, dan saya tidak sanggup untuk menghadapinya. Dia dengan tenang cakap pada saya, ‘Mama jangan risau. Kalau jadi apa-apa, mama balik kampung, dan rumah ini (di Seksyen 16 Shah Alam), mama buat sewa.” ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, Amirul maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Raya Barat.
Pemandu kereta berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan serta memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa menyebabkan mangsa tercampak di atas sebuah kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh pada sekitar jam 12 tengah malam Isnin. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pemandu mabuk, positif dadah sebabkan kematian penunggang motosikal direman empat hari


