PERMATANG PAUH – Pengumuman nama Ketua Hakim Negara dan hakim atasan lain dilaksanakan berlandaskan sistem semak dan imbang seperti yang termaktub dalam perlembagaan,” jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, dirinya tidak memberikan sebarang kenyataan balas sejak seminggu lalu kerana menghormati sistem serta prosedur pemilihan yang perlu melalui beberapa peringkat sewajarnya.
“Saya nak jawab tak boleh sebab pelantikan hakim membabitkan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Saya dapatkan nama (calon hakim) daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), timbang, bawa kepada YDPA dan bila diperkenan, cadangan itu akan dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja (MRR).
“Saya kena berdepan dengan Raja-Raja untuk beri penjelasan, kemudiannya perlu dipersetujui MRR, YDPA tandatangan dan barulah saya boleh jawab.
“Istiadat mengangkat sumpah jawatan hakim mahkamah rayuan, tinggi semua akan dilakukan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 28 Julai ini,”katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar, Kampus UiTM Permatang Pauh di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar turut membidas tindakan pihak pembangkang yang didakwa cuba memainkan isu berkenaan, namun akhirnya bersetuju dengan pengumuman pelantikan yang dibuat.
“Seminggu dia (pembangkang) ‘balun’ kita setengah mati, kata Anwar perosak badan kehakiman, tetapi hakim mana yang saya buang? Hakim masa yang kena pecat? Tak ada.
“Kita terbawa-bawa kerana yang bercakap itu ‘ustaz’, maka kita terima terus. Lepas kita umum, (pembangkang) terus terima keputusan, tetapi minta maaf pun tidak,” katanya.
Media semalam melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam Facebook Badan Kehakiman Malaysia, tengah malam ini, Seri Paduka membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, baginda juga memperkenankan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.
Seterusnya, Datuk Azizah Nawawi pula sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak bagi menggantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak yang bakal bersara.
“Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat serta menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai ini di Istana Negara,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette