IPOH – Penipuan dalam talian atau ‘onlin scam’ bukan sahaja memberikan kesan kepada kerugian wang ringgit, malah boleh mendorong kepada masalah tekanan perasaan serta kemurungan mangsa.
Ketua Pegawai Teknologi CyberSecurity Malaysia, Wan Roshaimi Wan Abdullah berkata, dapatan itu diperolehi berikutan kes dilaporkan melibatkan penipuan dalam talian semakin berleluasa dalam negara.
Katanya, dalam tempoh 10 bulan tahun ini, Pusat Tindakbalas Insiden Siber – Cyber999 yang merekodkan sebanyak 5,181 insiden keselamatan siber yang dilaporkan oleh pengguna Internet.
“Daripada jumlah itu, tiga kes penipuan dalam talian tertinggi direkodkan iaitu 3,483 kes diikuti insiden berkaitan kandungan (480 kes) dan kod jahat (403 kes).
“Mutakhir ini, liputan media juga menunjukkan peningkatan kes penipuan dalam talian dan scam dengan laporan yang muncul hampir setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2024 Peringkat Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.
Majlis dirasmikan Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Mengulas lanjut, Wan Roshaimi memberitahu, Negeri Perak merupakan destinasi terakhir program berkenaan pada tahun ini selepas di Johor dan Kedah.
Kata beliau, Jelajah Anti-Scam Kebangsaan turut telah diadakan di tujuh lokasi lain pada tahun lalu iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Perlis, Sabah, Sarawak, Kelantan dan Putrajaya.
Jelas Wan Roshaimi, program itu sebagai inisiatif memupuk kesedaran pengguna teknologi dan internet tentang jenayah ‘scam’, serta langkah-langkah pencegahan.
Tambah beliau lagi, adalah penting bagi semua pihak untuk memperhebatkan usaha dalam menyediakan maklumat kepada pengguna teknologi agar mereka sentiasa selamat semasa menggunakan platform digital.
“Antara jenis-jenis penipuan yang sering berlaku termasuk penipuan e-Dagang, penipuan telekomunikasi, ‘love scam’, dan pelaburan tidak wujud.
“Jenayah love scam, khususnya, memberi kesan besar kepada mangsa wanita, terutama yang berusia 41 hingga 50 tahun,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: