KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat maju jaya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan kontroversi kewujudan akaun bersumpah (SD) daripada Ketua Bahagian untuk menyingkirkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, jelas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), pihaknya tidak campur tangan dalam urusan parti-parti lain.
“Kita ucapkan kepada mereka selamat maju jaya dalam sebarang cabaran yang sedang dihadapi, mudah-mudahan ada hidayah daripada Allah SWT untuk membuka hati mereka untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri ditemui pemberita selepas mempengerusikan sesi perbincangan meja bulat bersama syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di sini hari ini.
Ahmad Zahid ditanya berkenaan kontroversi yang melanda Bersatu ketika ini susulan laporan media yang mendakwa kira-kira 120 Ketua Bahagian Bersatu telah menandatangani SD menggesa Muhyiddin berundur dan menyerahkan kepimpinan kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Malah, dalam ucapan dasarnnya pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 kelmarin, Muhyiddin turut menyentuh mengenai kewujudan usaha mengutip tanda tangan itu untuk menjatuhkan beliau sebagai Presiden.
Ucapannya itu kemudiannya mencetuskan kepada situasi kekecohan dan ketegangan pada PAT Bersatu berkenaan sehingga dilaporkan secara meluas oleh media, selain laporan polis turut dibuat susulan kejadian itu. – MalaysiaGazette