TAPAH – Projek ekonomi komuniti yang dijalankan menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI) mula menunjukkan hasil memberangsangkan di negeri Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, terdapat beberapa inisiatif yang dilaksanakan kini mampu menjana pendapatan lima angka dalam tempoh singkat.
Menurutnya, lebih 200 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terbabit dalam program tersebut telah melaksanakan pelbagai projek nilai tambah seperti pembelian bot, pembinaan chalet, ternakan ikan keli serta penyewaan kios.
“Ada juga komuniti yang membina kolam pancing dan berjaya mendapat semula modal sebanyak RM100,000 dalam tempoh hanya dua bulan.
“Ini membuktikan bahawa apabila diberikan kepercayaan dan sokongan, komuniti kampung mampu mengurus dan menjana hasil,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Sejati MADANI: Impian Jadi Realiti Daerah Padang di Kampung Kenangan, Bidor di sini pada Ahad.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed, serta Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani memaklumkan bahawa sebelum ini JPKK hanya menerima peruntukan sebanyak RM5,000 setahun untuk tujuan pentadbiran.
“Koperasi juga mempunyai peruntukan tersendiri dan boleh bekerjasama dengan JPKK. Dengan hanya 20 ahli minimum, satu koperasi boleh ditubuhkan. Ini dapat membantu menjana pendapatan komuniti secara lebih tersusun,” jelasnya.
Program Sejati MADANI adalah langkah proaktif SKM dan kerajaan negeri bagi memastikan peruntukan yang diterima dapat menjalankan projek-projek peningkatan ekonomi.
Menerusi projek tersebut secara tidak langsung memberi manfaat kepada masyarakat setempat selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 dan Dasar Koperasi Malaysia 2030. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak ambil inisiatif bantu JPKK dirikan Koperasi Sejati MADANI