IPOH – Pelbagai pakej dan aktiviti yang ditawarkan Tasik Cermin bakal menarik kira-kira sejuta pengunjung ke kawasan pelancongan itu.
Pengarah Tasik Cermin Ipoh, Ng Seong Ping berkata, bagi memastikan sasaran itu tercapai, Majuperak Holdings Berhad (MHB) bersama rakan strategiknya, STG World Sdn Bhd (STG) dalam usaha mempromosikan kawasan itu mengikut pakej bersesuaian dengan peringkat umur.
Menurutnya, lebih banyak aktiviti luar ditambah selain program-program menarik sepanjang 2025 antaranya kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), Perak Food Fiesta, Hari Geologi Sedunia dan Tasik Cermin Run.
“Bagi tujuan tersebut kami akan memastikan kakitangan yang terlibat diberi latihan dan pendedahan yang secukupnya bagi menjamin keselamatan dan keselesaan semua pihak.
“Sehingga Disember 2024, seramai 500,000 pelawat telah berkunjung ke lokasi tumpuan pelancong itu.
“Justeru, pada 2025, destinasi ini menyasarkan sejuta pengunjung, yang dijangka menyumbang secara signifikan kepada pembangunan komuniti tempatan dan ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) merangkap Pengerusi Eksekutif MHB, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, transformasi tasik tersebut daripada bekas kuari kepada ikon pelancongan adalah simbol dedikasi mereka terhadap pemuliharaan alam semula jadi dan pembangunan ekonomi Perak.
Katanya, destinasi geopelancongan ini mempunyai tiga tarikan gua utama iaitu Tasik Cermin 1, Tasik Cermin 2 dan Gua Mulut Ular.
“Ini adalah inisiatif yang membanggakan untuk MHB dan STG kerana telah berjaya memulihara warisan geologi itu sehingga berjaya meraih pengiktirafan dalam anugerah berprestij.
“Pengiktirafan tersebut adalah Anugerah Destinasi Pelancongan Mesra Muslim oleh Islamic Tourism Centre (ITC) dan The Best Accessible Tourism Initiative Award sempena Anugerah Pelancongan Perak 2024 baru-baru ini,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tasik Cermin, Ipoh gamit pelancong tempatan dan luar