Sekolah boleh ditutup jika suhu cecah 37 darjah celcius

GOPENG – Pentadbir sekolah dibenarkan membuat keputusan untuk menutup operasi buat sementara waktu sekiranya cuaca panas mencapai tahap amaran dua, iaitu apabila suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, keadaan tersebut adalah berdasarkan pengisytiharan rasmi oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), selaras dengan garis panduan yang telah dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini.

“Ini adalah seperti yang dinyatakan dalam garis panduan yang telah terpakai sejak tahun 2023 dan pihak JPN (Jabatan Pendidikan Negeri), PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) serta pihak sekolah mempunyai pengalaman yang mencukupi bagi menangani isu yang kita hadapi sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng bagi meninjau projek naik taraf bangunan daif sekolah berkenaan di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Sandrea Ng Shy Ching.

Sekolah boleh ditutup jika suhu cecah 37 darjah celcius
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pada sesi sidang media selepas meninjau keadaan bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng yang terlibat dalam Projek Daif merangkumi pembinaan bangunan gantian serta blok tambahan, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 27 MAC 2026.

Dalam perkembangan berkaitan, Wong berkata, pihak KPM telah memberi pesanan kepada kesemua pentadbir termasuk pengetua, guru besar serta PPD untuk sentiasa memantau status suhu harian bagi cuaca panas setiap hari di sekolah dan juga di daerah masing-masing.

“Sekiranya berlaku status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran pertama dengan suhu tertinggi melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut, pentadbir hendaklah menghentikan semua aktiviti luar yang melibatkan murid ataupun guru.

“Antara contoh aktiviti luar yang tidak sesuai dilaksanakan pada tahap suhu ini adalah seperti merentas desa, perkhemahan, kawat, sukan, permainan di luar bangunan serta pertanian,” jelasnya.

Sebelum ini, KPM dalam kenyataannya memaklumkan semua institusi pendidikan bawah kementerian tersebut diminta peka fenomena cuaca panas di kawasan masing-masing dan mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, semua institusi pendidikan perlu meningkatkan persediaan dan melaksanakan langkah-langkah bagi menghadapi cuaca panas apabila sekolah kembali dibuka selepas tamat Cuti Penggal 1. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Cuaca panas diramal berterusan hingga Jun

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI