Sekolah di Perak perlu patuh garis panduan KPM terima sumbangan

IPOH – Semua sekolah di Perak perlu mematuhi garis panduan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengelakkan sebarang aktiviti sumbangan melibatkan syarikat berkaitan arak, rokok dan judi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, surat pekeliling yang dikeluarkan KPM pada 2018 jelas menyatakan tatacara penerimaan sumbangan kepada sekolah harus tidak membabitkan syarikat berkenaan.

Sumbangan kepada sekolah Sekolah diminta patuh garis panduan KPM Perak sekolah Khairudin syarikat arak
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah pada sidang media Majlis Apresiasi Akademik Negeri Perak 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 JULAI 2024.

“Kita kena ingat sekolah adalah tempat untuk kita mendidik, mengasuh dan membimbing pelajar.

“Jadi, kita harus terapkan elemen-elemen yang baik kepada anak-anak kita supaya mereka menjadi seorang insan atau warganegara yang bertamadun dan berketerampilan.

“Justeru semua pihak harus patuh pada prosedur dan saya minta agar Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memantau hal ini pastikan insiden di Sepang, Selangor itu tidak berlaku di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Apresiasi Akademik Negeri Perak 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Safuan Raba’ai.

Khairudin diminta mengulas berkenaan laporan media berkenaan sebuah sekolah di Sepang menganjurkan konsert amal dengan penglibatan sebuah syarikat minuman keras yang merupakan antara penyumbang.

Sumbangan kepada sekolah Sekolah diminta patuh garis panduan KPM Perak sekolah Khairudin syarikat arak
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah menyerahkan Biasiswa YAB Menteri Besar Perak kepada penerima pada Majlis Apresiasi Akademik Negeri Perak 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 JULAI 2024.

Susulan itu, KPM dalam kenyataannya memaklumkan memandang serius perkara tersebut dan sedang melakukan siasatan lanjut.

Pada masa sama, Khairudin memberitahu, penting untuk semua pihak akur dalam mematuhi garis panduan sedia ada berhubung penerimaan sumbangan di sekolah.

Mengambil contoh dalam acara sukan, beliau berkata, penganjuran Liga Malaysia dan Sukan Malaysia (SUKMA) bertegas dalam memastikan temasya sukan berkenaan bebas daripada tajaan syarikat rokok, arak dan sebagainya.

“Dalam soal permohonan bantuan juga,pihak pemohon (pentadbir sekolah) harus mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Misalnya harus memastikan pihak yang ingin menyalurkan sumbangan adalah berdaftar selain sumber kewangan datang dari sumber yang sahih. Ini bagi mengelakkan daripada menimbulkan keraguan dan kecelaruan dalam kalangan masyarakat nanti,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, majlis meraikan tujuh pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) (22 orang) serta pelajar cemerlang Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) (82 orang).

Turut disampaikan Biasiswa Menteri Besar serta Skim Biasiswa Agrotek Negeri Perak kepada 29 penerima golongan B40 yang cemerlang dalam akademik. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Perak terima 396 ekor lembu sumbangan GLC sempena Raya Haji

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI