Sekolah Rendah Seri Budiman UPSI terima perakuan pendaftaran

TANJUNG MALIM – Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi sekolah sulung swasta di institusi pendidikan tinggi (IPT) itu menerima Perakuan Pendaftaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Mohammad Fauzi Mahson berkata, Perakuan Pendaftaran itu telah diluluskan atas usaha pegawai Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Unit Pendidikan Swasta JPN Perak dalam memproses permohonan penubuhan dan pendaftaran sekolah tersebut.

Menurutnya, SRSB adalah sekolah swasta ke-30 di Perak dan yang pertama ditubuhkan di daerah Muallim.

“Penubuhan sekolah ini sudah tentu akan memberi peluang pendidikan pilihan kepada ibu bapa bagi kemajuan pendidikan anak-anak mereka terutamanya kepada mereka yang tinggal berhampiran dengan kampus UPSI.

“Keadaan fizikal dan infrastruktur UPSI yang cantik dan lengkap memudahkan proses penubuhan sekolah ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, sekolah tersebut telah melaksanakan Kokurikulum Pendidikan 2027 melalui penerapan adab, pengetahuan, celik digital dan kemahiran kehidupan.

“Sewaktu penubuhan sekolah ini, saya telah menyatakan bahawa kita mesti mengikuti KPM, mempelajari segala kurikulum yang sedia ada dan melaksanakannya melalui pengajaran.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu KPM dan negara dalam melahirkan kaedah-kaedah pendidikan yang terkini.

“Murid-murid di sekolah ini turut didedahkan dengan empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Mandarin.

“Melalui perakuan pendaftaran ini, SRSB mempunyai landasan yang kukuh untuk terus melangkah ke hadapan dan mencapai kejayaan yang lebih gemilang”, jelasnya.

SRSB UPSI yang kini sudah beroperasi selama empat bulan, mempunyai 28 murid dan tiga guru, dua pembantu guru serta mempunyai dua pentadbir dalam pengurusan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI