KUALA LUMPUR – Sebuah sekolah sepatutnya menjadi satu tempat paling selamat buat kanak-kanak, terutama dalam situasi pelbagai isu keselamatan yang timbul mutakhir ini.
Menteri Pembanguanan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keselamatan di sekolah bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak pentadbiran sekolah, tetapi juga seluruh masyarakat termasuk ibu bapa dan agensi kerajaan.
“Bagi saya, saya rasa sekolah itu adalah kawasan yang paling selamat untuk anak-anak sekarang. Sepatutnya.
“Kalau tempat sekolah itu tidak lagi menjadi tempat yang selamat, apa nak jadi kepada masyarakat kita? Jadi semua pihak perlu menjalankan tugas,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan aliran Kasih Fun Run KPWKM di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas insiden seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di rogol bergilir-gilir dua pelajar senior.
Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Melaka malah lebih membimbangkan perbuatan tersebut dirakam dan dilihat dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit dalam kejadian di sebuah kelas di Alor Gajah kira-kira jam 2.50 petang pada minggu lalu.
Mengulas lanjut, Nancy berkata kementeriannya telah menghantar pegawai pelindung bagi menemui keluarga mangsa di hospital bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut.
Malah, pihaknya juga turut menghantar seorang pegawai kaunselor bagi memberikan kaunseling kepada mangsa dan keluarganya.
“Kalau diperlukan lagi oleh keluarganya untuk kita membantu terutama sekali kalau keluarga yang trauma disebabkan mereka tidak sangka boleh berlaku sedemikian kepada anak mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Nancy mengakui bahawa kebimbangan terhadap keselamatan pelajar kini semakin dirasai oleh ramai ibu bapa dan penjaga.
Beliau menambah, perasaan cemas tersebut menggambarkan keresahan masyarakat apabila institusi pendidikan tidak lagi dianggap sebagai tempat yang selamat untuk generasi muda.
“Sebenarnya saya pun takut. Nasib saya belum ada anak yang sekolah lagi. Tapi anak cucu semua itu juga masih sekolah,” ujarnya.
Nancy menjelaskan, kementeriannya melalui pelbagai agensi sentiasa berusaha menjalankan program berteraskan keluarga dan keibubapaan bagi meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dan tanggungjawab sosial.
“Kami ada agensi untuk membuat program seperti parenting. Tapi biasanya kalau parenting ini, orang-orang yang nak kita target itu tak datang. Sebab itu yang kita cuba,” katanya.
Beliau menegaskan pentingnya penglibatan komuniti dan ibu bapa dalam program tersebut bagi memastikan mesej keselamatan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan panduan dan sokongan.
Selas beliau, kementeriannya akan terus menilai keberkesanan inisiatif sedia ada dan memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Pendidikan serta agensi keselamatan bagi menjamin keselamatan murid di sekolah di seluruh negara. – MalaysiaGazette