Seksyen 124B tidak boleh dijadikan senjata politik – Peguam

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta berhati-hati membuka siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan berhubung dakwaan wujud cubaan menjatuhkan kerajaan.

Selaku peguam yang kerap menghujahkan kes menyentuh persoalan perlembagaan, Dr. Yusfarizal Yussoff menegaskan, siasatan itu dikhuatiri dilihat sebagai alat untuk mencengkam kebebasan bersuara.

“Lebih malang lagi jika ia dilihat sebagai alat kerajaan sedia ada untuk melakukan pendakwaan politik,” ujarnya dalam hantaran dalam laman Facebook.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail mengesahkan siasatan sedang dilakukan berhubung dakwaan wujud cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan mensabotaj kestabilan negara.

Mohd. Khalid berkata, siasatan berkenaan membabitkan seorang individu berpengaruh tempatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi media antarabangsa.

Polis berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 124B yang merujuk kepada aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Mengulas lanjut, Yusfarizal yang juga Ketua Penerangan Pas Selangor berkata, Seksyen 124B mendefinisikan kesalahan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Menurut peguam itu, Seksyen 124 hingga 124N dimasukkan dalam Kanun Keseksaan sekitar tahun 2012 yang mana ketika itu dunia baru dikejutkan dengan pelbagai cabaran demokrasi termasuk insiden Medan Tahrir di Mesir.

Ujar beliau, kata kunci kepada seksyen itu adalah demokrasi berparlimen yang didefinisikan dalam Seksyen 130A yang menyatakan ia dilakukan dengan cara keganasan dan tidak berperlembagaan.

Yusfarizal berpandangan, kata kunci `demokrasi berparlimen’ perlu difahami dengan jelas dan perlu dibezakan dengan `kerajaan’.

“Kumpulan seksyen bermula 124B hingga 124N mengarah kepada aktiviti-aktiviti seperti `espionage’, sabotaj dan sebagainya.

“Tun Mahathir pernah disiasat di bawah Seksyen 124B apabila mengumumkan Proklamasi Melayu. Namun tiada pertuduhan dibuat.

“Sehingga kini, kita masih belum jelas, kategori kes yang bagaimana boleh disabit kesalahan Seksyen 124B tersebut. Ia masih jadi perdebatan sarjana dan pengamal undang-undang,” ujarnya.

Beliau selanjutnya berpendapat, mengkritik atau menyeru supaya perdana menteri diturunkan sekalipun bukanlah sesuatu yang membahayakan demokrasi berparlimen (detrimental to parliamentary democracy), sebaliknya ia adalah hak kebebasan bersuara yang terjamin di bawah Perlembagaan.

Peguam itu berpendirian, pihak yang cuba mendedahkan kebobrokan kerajaan, tentunya dengan fakta, walaupun melalui media luar negara sekalipun, belum sampai ke tahap membahayakan demokrasi berparlimen.

“Kalau misalnya ada cubaan menubuhkan gerila menggulingkan kerajaan, mungkin ya. Kalau ada cubaan menukar sistem kepada sistem lain misalnya, mungkin ya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI