Sektor agromakanan diperkukuh menerusi RSN Perak 2040 – Saarani

IPOH – Kerajaan Negeri Perak melalui Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 (RSN Perak) memperincikan beberapa inisiatif bagi memperkasakan sektor agromakanan demi menjamin kelestarian bekalan makanan negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara inisiatif yang digariskan adalah memastikan kawasan agromakanan strategik dikekalkan sebagai zon pertanian.

Menurutnya, ia melibatkan Jelapang Padi di Kerian–Sungai Manik dan Seberang Perak seluas 35,112 hektar.

“Enam lokasi zon tanaman makanan sokongan turut terlibat iaitu kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) berkeluasan 691.26 hektar; 96 padang ragut ternakan sedia ada 13,477 ekar (5,454.3 hektar), selain kluster akuakultur di Tasik Temengor dan Sungai Perak serta 29 lokasi Zon Industri Akuakultur (ZIA) dengan keluasan 19,372 hektar.

“Tumpuan juga diberikan kepada pemulihan tanah pertanian terbiar secara berperingkat melalui aktiviti pertanian, ternakan dan akuakultur secara komersial serta integrasi bagi memaksimumkan hasil pengeluaran.

“Selain itu, kita turut menekankan kepada peningkatan tahap infrastruktur dan penggunaan teknologi tinggi dalam usaha meningkatkan hasil serta kualiti pengeluaran agromakanan,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Sektor agromakanan diperkukuh menerusi RSN Perak 2040 - Saarani
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir ketika memberi soalan tambahan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 SEPTEMBER 2025.

Dalam perkembangan sama, Saarani berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuhkan lagi peranan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dalam merancang, mengurus dan mengusahakan sektor agromakanan negeri.

“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan penglibatan usahawan, khususnya di DUN Ayer Kuning, untuk menceburi bidang keusahawanan pertanian,” ujarnya.

Katanya, penglibatan tersebut boleh direalisasikan melalui pelbagai program dan kursus yang disediakan oleh jabatan serta agensi berkaitan dalam usaha melonjakkan prestasi usahawan agar lebih berdaya saing.

Sementara itu, beliau memaklumkan bagi tempoh 2022 – 2025, seluas 12 hektar tanah terbiar telah dibangunkan semula sebagai kawasan penanaman padi di Bukit Sapi, Lenggong dengan penyediaan bantuan dari jabatan dan agensi yang berkaitan.

Tambahnya, antara insentif pembangunan yang diterima adalah perataan sawah, pengapuran, pembinaan batas baru dan baik pulih batas, naiktaraf parit buang dan peralatan serta jentera kecil yang berkaitan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak perkukuh sektor pertanian melalui projek hab agromakanan NCER berteknologi tinggi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI