KUALA LUMPUR – September 2025 menunjukkan peningkatan aktiviti pelancongan dan jumlah carian penginapan yang lebih tinggi di Malaysia berbanding tahun lalu.
Situasi ini menyaksikan satu perubahan besar kerana secara tradisinya bulan Disember merupakan kemuncak untuk pelancongan di Malaysia dan September lazimnya dikategorikan sebagai musim sederhana di antara musim puncak dan musim rendah dengan permintaan sederhana untuk pelancongan domestik, terutamanya sempena cuti sekolah.
Menurut Agoda, pada tahun ini, carian penginapan domestik untuk September melonjak hampir 20% berbanding September 2024.
Peningkatan ini mengatasi kadar minat bagi Disember 2025 sebanyak lima mata peratusan.
Data ini jelas menunjukkan minat terhadap pelancongan domestik yang semakin meningkat, walaupun pada tempoh yang biasanya kurang sibuk.
Peningkatan carian pada bulan September turut mencerminkan populariti perjalanan pada musim sederhana yang menawarkan suasana yang lebih santai dan kurang sesak di destinasi popular, tambahnya.
“Peningkatan carian untuk bulan September tahun ini menjadi lebih tinggi daripada biasa disebabkan oleh cuti sekolah dan cuti umum yang jatuh pada waktu yang strategik dan lima destinasi paling popular sepanjang September ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Cameron Highlands dan Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, Cameron Highlands mencatat lonjakan tertinggi dengan peningkatan carian sebanyak 42%, menandakan minat yang semakin tinggi terhadap destinasi beriklim sejuk dan menyegarkan.
Pengarah Negara Agoda bagi Malaysia dan Brunei, Fabian Teja berkata, musim sederhana membuka peluang besar kepada industri pelancongan untuk menggalakkan pelancongan domestik.
Ia kerana tempoh ini berada di luar musim cuti antarabangsa utama.
Kajian Agoda pada awal tahun ini mendapati hampir satu perempat rakyat Malaysia memilih untuk melancong pada musim bukan puncak, jelas menunjukkan potensi besar yang boleh diteroka.
Agoda berkata, menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, musim sederhana dijangka memainkan peranan yang lebih besar dalam kalendar pelancongan negara, sekali gus akan memberi peluang kepada industri untuk mempromosikan destinasi sepanjang tahun, dan bukan hanya ketika musim puncak. –MalaysiaGazette