BAGAN DATUK – Malaysia sedang memberi tumpuan baharu terhadap pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) maritim bagi memperkukuh daya saing negara dalam industri pelabuhan, perkapalan, perikanan moden dan tenaga laut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bidang TVET maritim kini muncul sebagai antara sektor berimpak tinggi yang bakal membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta melahirkan tenaga mahir untuk menyokong pertumbuhan ekonomi masa hadapan.
Menurutnya, usaha memperkasa TVET maritim ini selaras dengan Dasar TVET Negara 2030 yang memberi penekanan kepada penyelarasan kurikulum, pengiktirafan industri serta peluasan Program TVET High Growth High Value.
“Dalam sektor maritim, TVET membuka ruang besar kepada anak-anak muda untuk menguasai kemahiran kejuruteraan mekanikal marin, elektrikal marin, automasi kapal, penyelidikan tenaga laut boleh diperbaharui serta meningkatkan aspek keselamatan dan kecekapan operasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan Majlis Pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah (PMSN) di sini pada Khamis.
Pemasyhuran disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, kedudukan Bagan Datuk di kawasan muara strategik menjadikannya lokasi sesuai untuk dibangunkan sebagai pusat perikanan laut dalam sebagaimana termaktub dalam pelan ‘Perak Sejahtera 2030’.
Katanya, potensi daerah itu bukan sahaja tertumpu kepada sektor perikanan, malah mampu menjadi pusat latihan maritim merangkumi teknologi perkapalan, perikanan moden, tenaga laut dan keselamatan perairan.
“Usaha ini mampu melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang TVET maritim sekali gus menyokong agenda Ekonomi MADANI dan Dasar Pengangkutan Negara 2030 yang menjadikan sektor maritim pemacu pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.
Tambahnya, graduan TVET maritim bakal menjadi tonggak penting dalam membentuk masa depan industri pelabuhan, perkapalan, logistik dan tenaga laut negara, selain berperanan sebagai penjaga kelestarian perairan.
Beliau turut berharap PMSN menjadi pusat pembelajaran berteraskan inovasi dan kemahiran teknikal yang mampu melahirkan generasi pelaut, jurutera serta teknokrat maritim berdaya saing di peringkat global. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Perak berkenan isytihar pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah


