KUALA KANGSAR – Sembilan masjid di Perak dipilih sebagai lokasi pelaksanaan Program Sekuriti Makanan yang menyasarkan tanaman betik dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM86,000.
Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berkata, inisiatif itu dianjurkan susulan dengan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk bumi dihijaukan dengan tanaman makanan bagi menjayakan program Bumi Hijau.
Katanya, program yang melibatkan keseluruhan kawasan seluas 1.7 hektar itu juga sebagai mahu memperkasakan masjid sebagai pusat pengeluaran bahan makanan selain daripada institusi keagamaan.
“Melalui usaha ini, Jabatan Pertanian Negeri akan memberikan khidmat bantuan melibatkan pembersihan dan penyediaan kawasan, sistem pengairan, input pertanian seperti benih, baja dan racun.
“Tanaman betik dipilih adalah disebabkan permintaan yang sangat tinggi di pasaran, di samping kaedah penjagaan dan penanaman yang mudah berbanding dengan tanaman buah-buahan yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Peluncuran Program Sekuriti Makanan (Tanaman Betik) Masjid Negeri Perak di Masjid Al Lattifiyah Kampung Loh, Karai dekat sini pada Selasa.
Hadir sama, Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar, Dr Khairil Anuar Arshad; Pengerusi Masjid, M Fazil Majid serta Ketua Kampung Loh, Wan Azmi Wan Salleh.
Antara masjid lain yang akan terlibat adalah Masjid Al Amin Kampung Jong, Gerik; Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Tapah; Masjid Sultan Azlan Shah, Kampung Gajah dan Masjid Ar Ridzuan Kepala Pulau, Kampung Gajah.
Juga dianjurkan di Masjid Jamek Baru, Gopeng; Masjid Aziziah Batu 10, Bagan Datuk; Masjid Kampung Air Kuning, Taiping dan Masjid Al Muhajirin Kampung Nibung Hangus, Kuala Kurau.
Mengulas lanjut Norsiyenti berkata, pada minggu ini setiap masjid akan menerima sebanyak 50 ke 100 anak pokok betik bergantung kepada keluasan kawasan pertanian.
Ujar beliau lagi, pihaknya turut akan memantau secara berkala di semua kawasan berkenaan bagi memastikan tanaman dapat mengeluarkan hasil dengan baik dalam tempoh dua hingga enam bulan.
“Apabila hasil boleh dipetik, ia terpulang kepada ahli jawatankuasa masjid sama ada hendak menjual, mengagihkan kepada masyarakat secara infak atau sebagainya.
“Cuma harapan Jabatan Pertanian Negeri adalah kalau dapat sebahagian besar hasil tanaman itu mampu mewujudkan sumber pendapatan kepada masjid itu sendiri, agar mereka dapat membeli semua input untuk tanaman secara berulang,” katanya lagi.
Namun Norsiyenti memberitahu, ia tidak seharusnya memfokuskan kepada tanaman betik sebaliknya jawatankuasa masjid boleh menaman sayur dan buah-buahan komersial lain seperti buah tembikai wangi, cendawan atau sebagainya.
Tambah beliau, dalam inisiatif berasingan, Jabatan Pertanian Negeri turut membantu 1,010 peserta di 101 lokasi melibatkan masjid, surau, pondok dan maahad melalui Program Pertanian Komuniti sejak tiga tahun lalu.
Jelas beliau lagi, melalui program ini, pihaknya berhasrat untuk merancakkan aktiviti pertanian di masjid yang mampu menarik masyarakat di pelbagai lapisan umur. – MG Perak
Artikel Berkaitan: