Selain Taiping, ada lagi dewan selera MRSM abai kebersihan – Asyraf Wajdi

IPOH – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mendedahkan terdapat dewan selera di beberapa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang mengabaikan aspek kebersihan makanan kepada pelajar.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sekiranya ia terbukti benar pihaknya boleh mengambil tindakan berat termasuk menamatkan kontrak penyedia makanan.

Katanya, MARA juga boleh mengambil tindakan lain termasuk mengambil wang bon pelaksanaan daripada penyedia makanan iaitu lima peratus daripada nilai kontrak yang boleh mencecah RM200,000.

“Saya menghidu ada unsur perlanggaran itu, sama ada disengajakan atau sebaliknya, saya tak boleh mendahului siasatan.

“Tetapi itu yang menyebabkan saya turun (ke MRSM Taiping). Dan saya tahu ada dua tiga lagi MRSM yang menghadapi perkara yang sama, dan mereka tahu siapa mereka.

“Jadi saya nak beri isyarat bahawa jangan ingat bahawa kita tak boleh menamatkan (kontrak), mengambil bon dan ambil tindakan mahkamah kepada mereka,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau mengulas berkenaan laporan media berhubung lawatan Asyraf Wajdi ke dewan selera MRSM Taiping yang didakwa sambil lewa dalam soal kebersihan premis serta penyediaan makanan kepada pelajar.

Lawatan mengejut itu susulan 62 pelajar dilaporkan mengalami keracunan makanan sehingga dikejarkan ke hospital.

Mengulas lanjut. beliau berkata Bahagian Undang-undang MARA juga telah diarahkan untuk mengambil tindakan perundangan dalam kadar segera kepada penyedia makanan di dewan selera MRSM Taiping susulan isu berkenaan.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu membabitkan soal kebersihan sehingga mengancam nyawa dan kesihatan pelajar.

“Saya tidak gentar kepada kepada sesiapa, dan tak takut dengan kabel kamu besar atau tinggi mana.

“Kamu berhadapan dengan Pengerusi MARA yang mana saya tidak gentar dengan sesiapa kerana ini adalah soal amanah,” ujar beliau.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan notis penutupan terbaru ke atas dewan selera MRSM Taiping.

Ujar beliau, notis itu dikeluarkan bagi penutupan dewan selera dalam tempoh selama 14 hari bermula Jumaat hingga 20 September depan.

“Difahamkan, kontraktor ini kali pertama dengan MARA dan kontraknya akan tamat pada Disember ini.

“Ini juga bagi memberi isyarat kepada kontraktor lain agar jangan sesekali mengambil pendekatan sambi lewa dan cincai,” katanya lagi – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

JKN Perak terima 62 kes keracunan makanan MRSM Taiping

https://malaysiagazette.com/2024/09/06/keracunan-makanan-kontrak-pengendali-dewan-selera-mrsm-taiping-akan-ditamatkan/

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI