TANJUNG MALIM – Permintaan terhadap perumahan di daerah Tanjung Malim dan Batang Padang dijangka meningkat secara signifikan seiring pembangunan pesat kawasan berkenaan sebagai hab automotif negara.
Peningkatan ini didorong oleh projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) serta kehadiran kilang Proton dan BYD yang akan menarik kemasukan tenaga kerja dan usahawan serta mewujudkan keperluan mendesak terhadap pembinaan lebih banyak kediaman, termasuk melalui inisiatif Rumah Perakku.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) telah diminta untuk meneliti perkara tersebut bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) bagi memastikan perancangan pembangunan perumahan dapat dilaksanakan secara terancang dan berkesan.
“Apabila kita menyebut pembangunan Selatan Perak sebagai hab automotif, kita menjangkakan keperluan untuk menyediakan rumah kepada mereka yang akan berpindah ke sini, sama ada untuk bekerja atau menjalankan perniagaan.
“Dua daerah ini iaitu Tanjung Malim dan Batang Padang akan menjadi kawasan yang berkembang dalam jangka masa panjang. Ini bermakna LPHP perlu bertindak lebih awal untuk mengenal pasti dan merancang pembangunan perumahan yang diperlukan.
“Dalam masa sama, kita juga melihat kawasan bersebelahan di Selangor turut berkembang pesat. Justeru, permintaan terhadap rumah akan terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Perumahan Perakku Kota Malim Prima @ Tanjung Malim di Jalan KMP2, Kota Malim Prima di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching serta Pengerusi Eksekutif Berjaya Qiyam Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Stanley Gan.
Saarani turut memaklumkan bahawa langkah membina rumah lebih awal adalah penting bagi mengelakkan peningkatan kos pembinaan pada masa hadapan.
“Adalah lebih baik kita mula membina sekarang kerana jika dilaksanakan lewat, kos pembinaan akan menjadi jauh lebih tinggi,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sebanyak 383 unit Rumah Perakku melibatkan fasa pertama dan fasa kedua dibina di atas tanah seluas 14.74 hektar di Kota Malim Prima di sini.
Katanya, projek fasa pertama melibatkan pembinaan 199 unit rumah terdiri daripada 48 unit rumah Perakku I, 38 unit rumah Perakku II dan 113 unit rumah Perakku III yang berharga dari RM90,000 sehingga RM250,000.
“Manakala fasa dua pula melibatkan 141 unit rumah teres setingkat serta 43 unit rumah harga terbuka menjadikan keseluruhan sebanyak 383 unit rumah dengan keluasan sekitar 800 kaki persegi serta tiga bilik tidur dan dua bilik air,“ jelasnya.
Tambahnya, projek yang terletak kira-kira enam kilometer ke Proton City dan 6.8 kilometer ke Universiti Sultan Idris (UPSI) menjadikannya kawasan sesuai untuk didiami dan berpontensi tinggi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Konflik Asia Barat: Hentikan tuding-menuding, cari jalan penyelesaian bersama


