IPOH – Tiga bekas pemain bola sepak Perak yang sebelum ini lincah beraksi di atas padang, kini meneruskan kehebatan masing-masing dalam arena perniagaan makanan dan minuman.
Mohamad Hafiz Ramdan, 31; Nazirul Naim Che Hashim, 31, dan Amirul Azhan Aznan, 31, kini bergiat aktif sebagai peniaga di Piknik di Taman Rekreasi DR Seenivasagam, dekat sini.
Menurut Mohamad Hafiz, beliau mula mengusahakan perniagaan menjual burger di bawah nama ‘Pattyloka’ di situ sejak hujung Disember 2024.
Kata beliau, pekerjaan pada awalnya hanya sampingan, bertukar menjadi pekerjaan utama apabila beliau berhadapan dengan masalah kewangan ekoran tunggakan gaji sembilan bulan daripada sebuah kelab bola sepak luar Perak.
“Sebelum ini saya pernah berniaga menjual burger secara kecil-kecilan di kampung kelahiran iaitu di Kampung Jelai, di Batu Kurau.
“Saya masih mengekalkan menu-menu burger biasa, cuma di sini saya memperkenalkan satu lagi produk iaitu ‘smash burger’ yang juga sering mendapat permintaan ramai,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Taman Rekreasi DR Seenivasagam, baru-baru ini.
Mohamad Hafiz Ramdan yang menyarung jersi Perak FC pada tahun 2020 dan 2022, turut pernah menganggotai skuad PKNP FC, Sri Pahang, Negeri Sembilan serta Putrajaya Athletic FC.
Sementara itu, Nazirul Naim yang masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut pada tahun lalu memilih kopi sebagai bidang perniagaan yang diceburi.
Anak kelahiran Kuala Kangsar yang cukup dikenali ramai dalam arena bola sepak tanah air itu memberitahu, beliau memulakan perniagaan ‘Coffee Street 21’ sejak September lalu.
“Selepas saya dan isteri dapat tapak untuk berniaga, saya terus nekad untuk membeli mesin pengisar kopi, dan sehingga kini perniagaan saya berjalan baik.
“Ia sudah menjadi sumber pendapatan utama memandangkan saya tidak terikat dengan mana-mana kontrak pasukan bola sepak. Buat masa ini, perniagaan kopi adalah fokus saya,” katanya.
Amirul Azhan yang turut sama-sama memulakan perniagaan sejak September lalu pula mengetengahkan produk nasi lemak dengan pelbagai pilihan lauk tambahan kepada pelanggan.
Menurut beliau, perniagaan ‘The Makcik.co’ yang diusahakan bersama isteri menjadi sumber pendapatan utama selepas menggantung but pada tahun lalu.
“Selain nasi lemak, saya dan isteri turut menjual soto ayam serta pelbagai kuih-muih tradisional,” tambah beliau.
Amirul Azhan dan Nazirul Naim merupakan gandingan yang pernah menjadi kekuatan skuad Perak pada saingan Liga Malaysia sekitar 2016 hingga 2021, selain masing-masing juga pernah membuat penampilan bersama skuad kebangsaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: