PARIT – Misteri lelaki yang dilaporkan hilang lima hari lalu selepas mandi berhampiran Sungai Perak di Sungai Kampung Baru Lambor Kiri dekat sini, terjawab selepas ditemukan terapung, pada Isnin.
Mayat Muhammad Nurman Mohd Nor, 27, ditemukan nelayan ketika menjalankan rondaan di sekitar Kampung Pasir Kubu, Kampung Gajah sekitar jam 2 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Muhammad Asyraf Mat Isa berkata, mayat mangsa ditemukan berhampiran Kampung Pasir Kubu di Kampung Gajah iaitu 6 kilometer (km) dari lokasi mangsa dipercayai jatuh.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi pada jam 2.25 petang mengesahkan terdapat seorang mangsa terapung pada permukaan sungai,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Menurut beliau, anggota bomba kemudian mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) dan membawa naik mangsa dari sungai ke tebing.
Muhammad Asyraf berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia berdasarkan kepada bentuk fizikal.
“Mayat mangsa yang berjaya dibawa naik kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.
Ujar beliau, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I KUP, Sazali Abu Bakar bersama sembilan anggota BBP Seri Iskandar itu tamat pada jam 3.15 petang.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas mandi berhampiran Sungai Perak pada Rabu minggu lalu.
Mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar menguruskan lembu peliharaan untuk masuk ke kandang.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu pukul 5.46 pagi Jumaat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lelaki dipercayai hilang selepas mandi sungai