Sembilan daripada 14 hakim tertinggi bersara wajib tahun ini

KUALA LUMPUR – Badan Kehakiman Malaysia akan menyaksikan kekosongan yang ketara apabila sembilan daripada 14 hakim tertinggi, dijadual bersara tahun ini apabila mencapai umur persaraan wajib 66 tahun.

Perkembangan itu membawa kesan besar dalam perjalanan sistem kehakiman negara kerana ia melibatkan keanggotaan panel Mahkamah Persekutuan yang bersidang di peringkat rayuan.

Mendahului senarai ialah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli sudah mencapai usia persaraan mandatori, awal tahun ini. Beliau dilahirkan pada 25 Januari 1959.

Berdasarkan semakan MalaysiaGazette dalam laman web Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), perkhidmatan Abdul Rahman difahamkan dilanjutkan enam bulan lagi berdasarkan biodata beliau masih tertera dalam laman web berkenaan.

Berdasarkan Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga mencapai usia 66 tahun dan boleh dilanjutkan enam bulan lagi atas perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Selain keempat-keempat hakim tertinggi itu, mereka yang lain ialah Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Hanipah Farikullah. Kesemuanya lahir pada 1959.

Sementara itu, Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal yang sudah mencapai usia persaraan wajib Oktober tahun lalu, akan bersara pada April ini selepas tempoh perkhidmatannya dilanjutkan enam bulan lagi.

Jika sembilan hakim tertinggi itu mencapai umur bersara mandatori tahun ini, hanya tinggal lima hakim Mahkamah Persekutuan yang akan bersidang mendengar kes-kes di peringkat rayuan, sementara menunggu kekosongan diisi.

Mereka ialah Datuk Rhodzhariah Bujang, 64, Datuk Abu Bakar Jais, 63, Datuk Nordin Hassan, 62, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, 63, dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, 57, yang dilantik pada November tahun lalu.

Persoalannya, bilakah jawatan yang bakal dikosongkan itu akan diisi bagi memastikan pendengaran prosiding di Mahkamah Persekutuan berjalan lancar selepas hakim-hakim berkenaan bersara secara berperingkat-peringkat?

Semakan portal ini dalam laman web Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) menunjukkan badan kehakiman mempunyai 29 hakim Mahkamah Rayuan, 73 hakim Mahkamah Tinggi dan 27 pesuruhjaya kehakiman.

Perlu diketahui bahawa Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan menyatakan, semua pelantikan hakim ke jawatan pentadbiran tertinggi hendaklah dibuat oleh YDPA yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Dalam perkembangan sama, Ketua Hakim Negara awal tahun ini menyatakan, tiada mana-mana pihak selain JAC dan Perdana Menteri yang boleh mencadangkan calon untuk pelantikan ke semua jawatan hakim mahkamah tertinggi.

Menurut beliau, jika ia tidak dipatuhi, bukan saja badan kehakiman dipijak, kebebasannya dicabuli dan dikikis, malah ia adalah percubaan untuk campur tangan dalam perjalanan keadilan dengan mempengaruhi pelantikan hakim.

Tengku Maimun menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Putrajaya pada 8 Januari lalu.

Berdasarkan laman web JAC, suruhanjaya itu dianggotai oleh sembilan ahli termasuk Tengku Maimun selaku pengerusi manakala empat yang lain ialah Abang Iskandar, Hasnah, Abdul Rahman dan Nallini.

Empat lagi ialah, bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, Bekas Peguam Besar Sarawak, Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid dan Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Hartini Saripan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI