IPOH – Polis menahan sembilan lelaki warga tempatan kerana dipercayai terlibat dalam kejadian merusuh menggunakan senjata di hadapan sebuah restoran di Meru Raya dekat sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, penahanan lelaki berusia 19 hingga 41 tahun itu dibuat susulan laporan polis yang diterima pada jam 12.30 tengah malam tadi oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun yang mendakwa diserang kumpulan lelaki berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham berkaitan motosikal yang telah dirampas dalam kegiatan lumba haram.
“Tindakan pantas polis telah berjaya menahan sembilan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu sekitar jam 6.45 pagi di lokasi berasingan.
“Kita turut merampas berserta sebuah kereta jenis BMW Model E90 3 Series berwarna putih, seunit kunci kereta BMW, sebatang kayu golf jenama Dunlop Max 357 berwarna hitam dan sebatang pengunci stereng kereta berwarna biru.
“Seramai enam mangsa telah mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala senjata yang disyaki digunakan semasa kejadian adalah kayu besbol, parang, pedang samurai, helmet dan pisau panjang,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah dan dadah.
”Hasil saringan air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis benzodiazepine manakala seorang lagi suspek positif jenis THC,” ujarnya.
Abang Zainal Abidin memaklumkan permohonan reman telah dibuat ke atas empat suspek selama tiga hari sehingga 9 April ini manakala lima suspek lagi direman selama sehari bagi siasatan lanjut.
“Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh dengan menggunakan senjata.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil memberi keterangan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohamad Al Hakim Al Balkhis di talian 0111-125 6246,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: