KAMPAR – Seorang operator kilang yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Datuk Ahmad, di sini, seolah-olah seperti sudah tahu ajalnya akan tiba apabila membuat persiapan Aidilfitri lebih awal untuk ahli keluarganya.
Nurrul Anisah Dek Kamil, 26, anak tunggal kepada pasangan Dek Kamil Musa, 60, dan Noor Asmah Mior Hamjah, 57, sempat membeli pakaian raya sedondon berwarna hijau, tudung serta putih serta langsir berwarna putih sebelum terlibat dalam kemalangan itu pada 10 Mac lalu.
Noor Asmah berkata, anaknya yang bekerja di sebuah kilang di Tapah membeli kelengkapan raya itu selepas arwah menerima bonus pada Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, arwah yang lebih mesra disapa Along itu memang menunjukkan beberapa perubahan sikap.
“Banyak petanda menunjukkan dia mahu meninggalkan kami antaranya arwah pernah sebut ‘seronok nak duduk rumah baru’ tetapi masa itu tidak perasan lagi kerana kebetulan ada buat ubah suai rumah.
“Sebelum ini, anak saya selalu membeli pakaian dan persiapan untuk Syawal sebelum beberapa hari sebelum raya.
“Bagaimanapun, kali ini arwah membeli pakaian raya sedondon untuk kami sekeluarga dan memberitahu kami mungkin tahun depan kami tidak akan merasa lagi duit bonusnya,” katanya yang sebak ketika menceritakan kenangan bersama anaknya itu.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Teluk Intan, S Mageswari dan Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi di Kampung Changkat Belulang, di sini, pada Khamis.
Sementara itu, mengimbau semula peristiwa pada 10 Mac lalu, Noor Asmah berkata, ketika kejadian dia sedang menunggu anaknya itu untuk mengambilnya pulang kerja di kebun sayur dekat Bunga Tanjung sekitar jam 10.30 pagi.
“Selalu jam 10.25 pagi (anak) dah sampai dan dalam hati rasa anak jatuh. Kemudian anak saudara yang tinggal berhampiran bawa saya ke lokasi anak jatuh motosikal,” katanya.
Katanya, anaknya itu pada mulanya dibawa ke Hospital Kampar sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, Noor Asmah berkata, anaknya meninggal dunia pada 11 Mac jam 12.59 tengah hari akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan antaranya tulang rusuk berkecai dan tempurung kepala retak.
“Makcik reda dan tenang dengan pemergian anak tunggal kami,” ujarnya.
Sementara itu, Mageswari berkata, Nurrul Anisah adalah seorang pekerja formal dan telah bekerja dan menerima gaji dari majikan telah mencarum di bawah Perkeso.
“Kemalangan itu berlaku di luar waktu kerja dan ibu bapa adalah waris yang layak. Mereka menerima Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000 dan akan menerima pencen seumur hidup setiap bulan bermula April sebanyak RM434.50,” jelasnya.
Perkeso turut menyerahkan Kotak Perkeso Prihatin yang mengandungi keperluan asas kepada keluarga berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dugaan menjelang Ramadan, lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang rumah musnah terbakar