TAPAH – Kakak kepada arwah Aszura Bani, 37, tidak menyangka aktiviti perkelahan bersama enam keluarga di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor dekat sini bertukar tragedi apabila adik dan tiga anak saudaranya lemas dalam kejadian kepala air.
Aslinda Bani, 38, yang terselamat dalam kejadian tersebut berkata, peristiwa hitam itu memberi kesan mendalam kerana ia berlaku di hadapan matanya sendiri.
Menceritakan detik-detik kejadian, anak kelima daripada 13 adik beradik itu memberitahu dia berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung daripada dihanyutkan arus deras air sungai.
“Tangan saya berjaya ditarik oleh seorang penduduk kampung, dan ketika itu juga saya melihat adik saya sempat memegang erat dua anaknya ketika berada di beting tengah-tengah sungai.
“Dia sempat bercakap kepada saya, dia kata ‘Kau pergilah cari bantuan. Pergi minta tolong dekat orang’,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas pengebumian tiga beradik mangsa kepala air di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor, pada Khamis.
Jenazah Hafiy Muhayat Azam, 4, Hanum Marissa, 2, dan Hanna Mikayla, 7 selamat dikebumikan dalam satu liang lahad sekitar jam 6.20 petang di sisi pusara ibu, Aszura.
Tambah Aslinda, sekembalinya dia ke lokasi selepas berjaya mendapatkan bantuan penduduk kampung, jantungnya seakan-akan gugur tatkala adik dan tiga anak saudaranya hilang dari pandangan.
“Saya tengok air sungai deras yang pada awalnya hanya paras lutut terus naik ke paras dada.
“Anak saya pula sempat berpaut pada sebuah batu besar, sebelum berjaya diselamatkan oleh seorang warga emas penduduk setempat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aslinda berkata, sebelum kejadian kesemua mereka pergi mencuci gerai buah-buahan milik arwah adiknya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
“Selepas selesai, kami telah buat keputusan untuk berkelah di Sungai Kenjur, Kampung Poh. Kami pergi dua kereta, yang mana saya pergi berdua dengan anak, arwah pergi berlima bersama dengan pengasuh warga Indonesia,” katanya.
Dalam kejadian sekitar jam 4 petang, enam sekeluarga bersama dengan seorang pengasuh wanita warga Indonesia berdepan detik cemas apabila terlibat dalam tragedi kepala air di Sungai Kenjur, pada Rabu. – MG Perak’
Artikel Berkaitan:
Tragedi kepala air: Hujan renyai iringi pengebumian tiga beradik
Tragedi kepala air: Mangsa terakhir, dua kanak-kanak ditemukan