Semua mangsa nahas UPSI dibekalkan darah yang mencukupi

IPOH – Mangsa kemalangan jalan raya melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, pada Isnin telah dibekalkan dengan darah yang mencukupi.

Perkara berkenaan dimaklumkan Unit Pendermaan Darah, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, di halaman Facebook Derma Darah Ipoh, pada Rabu.

Bagaimanapun, menurut kenyataan berkenaan HRPB masih memerlukan bekalan darah ekoran kadar penggunaan darah yang tinggi di musim perayaan.

“Untuk makluman semua, mangsa kemalangan UPSI sudah dibekalkan dengan darah yang mencukupi. Tapi bekalan darah Di HRPB Ipoh masih belum di paras yang stabil kerana kadar penggunaan darah tang tinggi di musim perayaan.

“Inilah situasi yang sebenarnya. Sesiapa juga dialu-alukan untuk menderma darah, bukan hari ini sahaja, malah di hari-hari mendatang untuk kesejahteraan pesakit,” katanya.

Unit Pendermaan Darah HRPB juga turut menyeru orang ramai agar membudayakan derma darah dalam masyarakat.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan semalam, Unit Pendermaan Darah HRPB memaklumkan seramai 336 penderma tampil menderma darah.

Semalam Malaysia Gazette melaporkan HRPB Memerlukan bekalan darah untuk menampung keperluan pesakit yang terlibat dalam kemalangan bas yang telah mengorbankan 15 penuntut UPSI.

Ia ekoran tular di media sosial bahawa HRPB memerlukan penderma darah A dan B.

Waktu operasi terkini Pusat Derma Darah HRPB pada Isnin hingga Khamis adalah dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari dan 2 petang hingga 9 malam.

Manakala hari Jumaat pada jam 8 pagi hingga 12.15 tengah hari dan 2.45 petang hingga 9 malam.

Lokasi derma darah adalah di Bilik Pendermaan Darah HRPB di Bangunan Jabatan Perubatan Transfusi yang terletak bersebelahan pusat rawatan harian hospital berkenaan. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI